KOTA BARU: Kerajaan Kelantan akan mengeluarkan notis selama 14 hari kepada semua peniaga vape atau rokok elektronik untuk menggosongkan premis mereka bermula Rabu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata tindakan itu sejajar dengan keputusan kerajaan negeri untuk tidak mengeluarkan lesen bagi penjualan produk tersebut di Kelantan. Beliau berkata kepada pemberita di Kompleks Kota Darul Naim bahawa kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati melanggar undang-undang itu pada 1 Januari depan. Sementara itu, kerajaan Terengganu juga membekukan pengeluaran lesen untuk penjualan vape atau rokok elektronik. "Apabila ada isu kontroversi, adalah lebih baik bagi kerajaan untuk mengambil langkah seperti membekukan sementara pengeluaran lesen kepada mereka yang bercadang mahu memulakan perniagaan penjualan vape atau rokok elektronik," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco mingguan (Exco) di sini, Rabu. Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri itu juga akan mengenakan larangan sebelum kajian menyeluruh mengenai implikasi vape dilakukan.