suria

Apabila Bisikan Hati Ditunaikan Ilahi

ASSAALAMUALAIKUM. Pada 30 September 2015, rakan-rakan jemaah yang bersama-sama dalam kumpulan Destinasia Travels berangkat ke Tanah Suci Madinah, iaitu setelah 13 hari beribadat di kota Makkah untuk menyempurnakan rukun dan wajib haji.

Namun, saya dan seorang lagi jemaah haji berusia 49 tahun, Noor Baya, tidak mengikuti rombongan berkenaan.

‘Nanti hajah temankan Noor Baya di Makkah. Bila dah selesai, maklumkan pada saya untuk urusan masuk ke Madinah.’ Ringkas catatan whatsapp  ketua operasi, Haji Masrol Apandi kepada saya.

Dalam hati berkata-kata, Allah mengetahui setiap yang terdetik dan tersirat di dalam hati hamba-Nya. Allahu Akbar. Beberapa hari sebelum tanggal 30 September saya berbual dengan Haji Masrol dan Haji Zaki di lobi hotel Al-Jewar.

“Kenapa cepat sangat kita bergerak ke Madinah?” tanya saya sambil memandang kepada Haji Masrol. Namun pertanyaan saya dijawab spontan oleh Haji Zaki yang berketurunan Patani dan bermastautin di Makkah.

“Bukankah Madinah lebih tenang untuk beribadat. Ramai orang suka pergi ke Madinah lebih lama,” ujar beliau.

“Ye tetapi terlalu cepat hendak ke Madinah sebab kita akan pulang ke tanah air pada 12 Oktober.

Mungkin boleh duduk di Makkah dua atau tiga hari lagi,” jawab saya pula.

“Tak mengapalah. Lebih awal sedikit ke Madinah. Jemaah tentu suka,” balas Haji Zaki lagi.

Saya tidak lagi bertanya tetapi di dalam hati terus terfikir mengapa harus terlalu awal ke Madinah kerana berdasarkan pengalaman lalu ketika menunaikan ibadat haji, jemaah berada di Madinah di antara lapan dan 10 hari.

Hakikatnya, saya belum puas beribadat dan berulang alik ke Masjidil Haram. Terasa begitu singkat di Makkah kerana sejurus memasuki Makkah, tumpuan lebih ke urusan untuk wukuf di Arafah, Muzdalifah dan Mina.


Justeru, saya terasa mahu lebih lama di Makkah dan memikirkan sepatutnya masuk ke Madinah pada 3 Oktober.


Namun, segala-galanya terjawab apabila saya menerima whatsapp daripada Haji Masrol yang meminta saya menemani Noor Baya yang sangsi dan waswas dengan keadaan dialami iaitu gangguan haid yang tidak menentu dan perlu mengulangi tawaf haji.

Saya membaca whatsapp itu dengan gembira dan tidak menganggapnya sebagai bebanan. Allah tahu isi hati saya dan setiap yang tersirat di dalam sanubari saya. Alhamdulillah saya boleh beribadat lebih lama di Makkah.

Pada pagi itu, Haji Aminuddin bertemu saya dan mengatakan saya perlu temankan Noor Baya sehingga dia selesai haid dan sempurnakan tawaf haji.  Saya menyambutnya dengan hati terbuka.

“Kak Ana dan Noor Baya duduk di rumah kakak Haji Hadi di kawasan Ajyad. Jika dah selesai semuanya, hubungi saya untuk urusan ke Madinah,” kata Haji Aminuddin.

Haid Noor Baya tidak menentu sejak beberapa bulan kebelakangan sebelum menunaikan ibadat haji dan keadaan itu menyebabkan beliau terasa tidak enak hati dan menganggap perlu mengulangi tawaf haji yang telah pun ditunaikan bersama-sama saya dan kak Zaini.

Permasalahan dialami Noor Baya turut diajukan kepada Haji Masrol dan pembimbing ibadat haji, Ustaz Asri Abdullah, yang menetap di Madinah. Oleh sebab Noor Baya terasa sangsi dengan tawaf yang sudah ditunaikan, beliau perlu mengulangi tawaf hajinya.

Sejurus berbincang dengan Haji Aminuddin di lobi hotel Al-Jewar, saya naik semula ke dalam bilik 313A.

“Baya, letakkan beg besar di lobi sekarang. Mereka akan bawa beg kita ke Madinah. Kita bawa satu beg bimbit saja,” ujar saya kepada Noor Baya.

Dalam masa yang sama, saya tidak henti-henti menghubungi rakan yang ada di Makkah untuk memaklumkan kepada mereka yang saya dan seorang lagi jemaah tidak berangkat ke Madinah dan memerlukan tempat tinggal yang lebih dekat untuk ke Masjidil Haram.

Saya dimaklumkan oleh Haji Aminuddin bahawa rumah kakak Haji Hadi terletak kira-kira dua km dari Masjidil Haram dan keadaan ini menyebabkan saya tidak mungkin ke masjid dengan berjalan kaki, apatah lagi penempatan itu di kawasan berbukit.

Setelah berusaha mendapatkan bantuan daripada rakan saya, Ani dan Ida, rezeki menyebelahi saya kerana mereka sudi menerima kami untuk menumpang di tempat mereka.  Saya maklumkan kepada Ani dan Ida, saya tidak mahu makan minum di situ kerana akan mencarinya sendiri.

“InsyaAllah, kak Ana duduk dengan kawan-kawan ye,” ujar saya kepada Haji Aminuddin setelah mendapat kepastian daripada Ani dan Ida yang sudi menerima kedatangan kami.

“Oh ok. Tapi jika ada apa-apa kak Ana maklumkan pada saya atau Haji Masrol,” pesan Haji Aminuddin sebelum meninggalkan lobi hotel Al-Jewar.

Setelah semua jemaah Destinasia meninggalkan kota Makkah pada jam 3 petang, Noor Baya, Haji Hadi dan saya berjalan keluar dari hotel berkenaan.

“Hajah nak duduk dengan kawan ye. Saya akan ke rumah kakak di bukit Ajyad. Jika ada apa-apa masalah, hubungi saya,” katanya sambil tersenyum.

“InsyaAllah. Tempat rakan saya tidak jauh sangat dari masjid. Senang sikit nak ke masjid,” balas saya gembira sambil memberi beliau alamat rakan saya itu.

“Oh ok. Rumah kakak saya lagi jauh hajah…” ujar Haji Hadi.

“Bila awak masuk Madinah?” tanya saya.

“InsyaAllah, dua tiga hari lagi saya ke Madinah,” balas Haji Hadi yang fasih berbahasa Arab.

Setelah berjalan kira-kira 20 minit dari hotel Al-Jewar, tibalah di kawasan penempatan rakan saya. 

“Ini tempatnya hajah. Boleh ye hajah, saya nak teruskan perjalanan ke rumah kakak,” kata Haji Hadi.

“Oh itu ye. Jika saya pusing ke bawah maknanya akan terus ke masjid. Dah masuk kawasan Ajyad bukan?” tanya saya mohon kepastian.

“Betul. Hajah terus sahaja dan sampailah ke Masjidil Haram. Senang saja,” balas beliau.

“Terima kasih ye. Insha Allah jumpa lagi di Madinah,” ujar saya pula.

Berjalanlah saya hingga ke tempat tinggal Ani dan Ida. Empat malam saya bersama-sama sahabat saya itu sebelum dipelawa oleh pemilik agensi pelancongan TM Tours & Travel, Hajah Naaimah untuk menginap di Hotel Golden Ajyad yang lebih hampir ke masjid.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Begitulah saya. Sejurus Hajah Naaimah membalas whatsapp dan meminta saya datang berjumpanya di hotel Ghanaim selepas solat Asar, saya tidak berlengah.

“Baya, lepas Asar nanti, kak Ana nak jumpa Hajah Naaimah, awak ikut sekali ye…” pinta saya kepada Noor Baya yang masih kelihatan runsing dengan keadaan dialami. 

“Ok kak. Saya ikut saja,” katanya ringkas.

“Awak ikut akak solat Asar tapi awak duduk di kawasan saie. Dari situ kita terus pergi ke hotel berkenaan,” ujar saya lagi.

“Bolehlah kak. Bosan juga saya duduk di dalam bilik saja,” balas Noor Baya.

Sesekali saya menasihatkan Noor Baya agar tidak terlalu gusar dengan keadaan dialami kerana itu fitrah kepada setiap wanita. Melihatnya terbaring dan terkadang tidur-tidur ayam, timbul simpati lantas saya mengirim whatsapp kepada seorang doktor di tanah air.

Saya maklumkan keadaan Noor Baya dan doktor itu menasihatkan agar dia mengambil ubat tertentu. Justeru, ketika mahu bertemu Hajah Naaimah, saya mengajak Noor Baya ke masjid dan duduk di kawasan saie kerana beliau masih uzur.

Sejurus solat Asar, saya membawa Noor Baya ke farmasi United yang terletak bersebelahan hotel Al-Maqam untuk membeli ubat dimaksudkan oleh doktor pakar berkenaan. Noor Baya membelinya dan mendengar pesanan daripada penjual ubat di farmasi berkenaan.

Setelah itu, kami berjalan pula ke hotel Ganaim untuk bertemu Hajah Naaimah. Sedang saya duduk menunggu dan melihat telefon, Hajah Naaimah menepuk saya dengan wajahnya yang berseri-seri.

“Alhamdulillah dapat jumpa kakak di sini,” kata saya bersalam dan memeluknya.

“Lain kali hubungi kak terus sebab semalam tak sihat jadi tak baca whatsapp,” ujarnya yang berjubah hitam dengan perincian rona keemasan.

“Awak duduk dengan kakak saja. Sekejap lagi Ana ikut kami ke Jabal Tsur. Ada majlis penyampaian sijil dan cenderahati kepada jemaah haji TM Tours,” katanya.

“Ok boleh, InsyaAllah,” balas saya ringkas.

“Ana jadi emsi nanti pada majlis itu,” pinta beliau.

“Hah, emsi? Di Makkah ni kak. Apa nak cakap?” soal saya ketawa.

“Cakap saja apa Ana nak cakap. Mesti boleh,” katanya lagi.

Pada malam itu majlis berjalan lancar. Saya dan Noor Baya pulang semula ke tempat penginapan Ani dan Ida pada kira-kira jam 11 malam walaupun dipujuk berkali-kali oleh Hajah Naaimah agar tidur di Hotel Golden Ajyad. Kami berjanji pada Hajah Naaimah akan datang semula keesokan hari  kerana tidak membawa pakaian.

Tiga malam saya dan Noor Baya tidur di Hotel Golden Ajyad. Pada 5 Oktober, Noor Baya memaklumkan kepada saya kemungkinan beliau boleh menyempurnakan tawaf haji dalam masa sehari dua lagi.

“Alhamdulillah jika awak dah boleh tawaf. Tapi macam ustaz cakap, perlu tunggu 24 jam bersih baru boleh tawaf,” pesan saya.

“InsyaAllah kak,” balas beliau ringkas.

Alhamdulillah pada 6 Oktober Noor Baya mengatakan dia boleh tunaikan tawaf.

“Baiklah, kalau macam tu, kak Ana tawaf sunat dan awak tawaf haji. Biar kak Ana temankan awak.

Pada Rabu pula kita tawaf wada,” balas saya.

Setelah mengatur peracangan itu, saya memaklumkan kepada Haji Aminuddin dan beliau maklumkan bahawa Haji Zaki akan menghubungi saya untuk berbincang lanjut mengenai pergerakan ke Madinah.

“Hajah, bila boleh berangkat ke Madinah?” tanya Haji Zaki ketika menghubungi saya.

“InsyaAllah Rabu. Tawaf wada dalam jam 9 pagi dan harap awak datang ambil kami kira-kira satu atau dua jam kemudian,” pinta saya.

“Baiklah. Selesai tawaf wada hajah hubungi saya nanti,” pesan Haji Zaki.

“Ok. Terima kasih,” balas saya pula.

Noor Baya selesaikan tawaf hajinya pada hari Selasa dan Alhamdulillah segala-galanya berjalan seperti dirancang. Pada Rabu, jam 9 pagi, saya dan Noor Baya menyempurnakan tawaf wada’ dan pada jam 11 pagi, rakan niaga Haji Zaki yang dikenali sebagai Haji Maher menghubungi saya dan mengatakan akan membawa saya dan Noor Baya ke Madinah.

Ikuti catatan saya seterusnya dalam perjalanan ke Madinah Munawarrah pada minggu depan, InsyaAllah.











Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain