suria

Kemalangan Myvi: Punca Nahas Tidak Dapat Dikenal Pasti

Kemalangan maut di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada Mei lalu.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Trafik di sini, Khamis diberitahu punca kemalangan maut di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), Mei lepas, tidak dapat dikenal pasti kerana ketiga-tiga kenderaan yang terlibat remuk dan rosak teruk.

Pemeriksa Kenderaan, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Wangsa Maju, Mohd Zakarifan Hassan berkata keadaan kenderaan yang rosak teruk itu menyebabkan ia tidak dapat dipandu uji di atas jalan raya.

"Saya membuat pemeriksaan visual ke atas ketiga-tiga kenderaan dan mendapati ia remuk dan tidak dapat dipandu uji," katanya ketika pemeriksaan balas peguam S.N. Seelan yang mewakili tertuduh Mohammad Fizal Reza Jamauddin.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes dua pemandu Myvi, Siti Noor Aini Mohd Said, 36, dan Mohammad Fizal Reza, 31, yang didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa, enam bulan. 

Siti Noor Aini dan Mohammad Fizal Reza didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 6 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta antara 12.31 tengah malam dan 12.35 tengah malam pada 2 Mei lepas. 

Mohd Zakarifan yang mempunyai pengalaman selama tujuh tahun sebagai pemeriksa kenderaan dalam bidang mekanikal automotif merupakan saksi ketujuh pada perbicaraan hari ke-11, Khamis.

Beliau ditugaskan untuk mencari punca yang mengakibatkan kemalangan pada ketiga-tiga kenderaan dan membuat pemeriksaan itu pada 5 Mei 2015.

Menurutnya, beliau hanya membuat pemeriksaan visual dan tiada sebarang pemeriksaan secara spesifik terhadap ketiga-tiga kenderaan terlibat kemalangan.

Terdahulu kepada soalan peguam Omar Bakhi Ahmad yang mewakili Siti Noor Aini mengenai adakah beliau dapat mengetahui terdapat kerosakan brek pada ketiga- tiga kenderaan, Mohd Zakarifan berkata "Tidak, sebab kenderaan remuk, brek tidak dapat diuji".

Jelasnya pemeriksaan dibuat secara statik di bahagian luaran kenderaan sahaja selama 40 minit dengan ketiga-tiga kenderaan berada di atas 'carrier' dalam keadaan roda kenderaan tergantung (tidak cecah tanah).

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzi dan Suhaimi Ibrahim.

Perbicaraan di hadapan Majistret Zilfinaz Abbas bersambung 22 Januari tahun depan. - Bernama

Artikel Lain