GEORGE TOWN: Kertas siasatan berhubung kemalangan seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Bayan Lepas pada Selasa lepas sedang disiapkan, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi. Beliau berkata ia perlu disiapkan secepat mungkin bagi membela nasib anggota berkenaan. Anggota tersebut dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya mungkin kehilangan kaki kanannya setelah dirempuh sebuah kereta ketika sedang bertugas membuat rondaan. "Saya dan seluruh kontinjen negeri melahirkan rasa sedih atas kemalangan yang menimpa Lans Koperal Nik Mohd Afizal Nik Ya, 29, yang ketika kejadian sedang menjalankan tugasnya dalam membuat rondaan cegah jenayah di sekitar lokasi kejadian. "Kes itu sedang dijalankan menurut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan ia dijangka dapat dilengkapkan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, Khamis. Abdul Rahim bersama Timbalannya Datuk A. Thaiveegan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid dan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Lai Fah Hin melawat anggota terbabit. Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, Nik Mohd Afizal sedang menunggang motosikal dari arah Bayan Lepas apabila beliau tiba-tiba dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang datang dari arah simpang Solok Rajawali 4. Akibat rempuhan itu, beliau tercampak dan terjatuh ke atas jalan raya. Abdul Rahim berkata anggota berkenaan kini dalam keadaan stabil serta menunjukkan perkembangan positif. Sementara itu Nik Mohd Afizal berkata pada mulanya beliau tidak menyedari kecederaan yang dialaminya dan cuba untuk berjalan bagaimanapun tapak kakinya terasa berat serta kebas. "Saya lihat jari kaki saya hancur serta terkulai. Ketika itu apa yang terlintas di fikiran saya ialah kaki saya terpaksa dipotong dan akan mengalami cacat kekal. Ketika itu saya juga terbayang wajah isteri serta anak saya. "Saya reda dengan apa yang berlaku dan berharap saya akan cepat sembuh supaya saya dapat menjalankan tugas semula seperti biasa," katanya. Isterinya Rohaya Ahmad Din, 28, berkata setakat ini suaminya sudah menjalani pembedahan memotong semua jari kaki yang hancur itu. Katanya doktor akan sentiasa memantau keadaan dan kemungkinan kaki kanan suaminya akan dipotong hingga paras lutut sekiranya didapati terdapat sel kakinya yang mati.