KUALA LUMPUR: Pusat barangan teknologi maklumat (IT) Bumiputera, Mara Digital Mall yang baru beroperasi seminggu di Mara Atrium Busana Mall, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini akan diperluas di setiap ibu negeri seluruh negara bermula tahun depan. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu bagi memberi peluang kepada lebih ramai golongan Bumiputera melibatkan diri dalam pasaran digital dan IT. "Sebelum ini peluang Bumiputera untuk berniaga di pusat IT agak kurang diberikan dan sewa yang dikenakan terlalu tinggi sehingga ramai yang tidak mampu. "Namun kami lihat sektor IT mempunyai pasaran jangka panjang yang tinggi dan apa salahnya kami beri ruang dan peluang kepada mereka untuk terlibat dalam sektor yang mempunyai potensi besar ini," katanya kepada pemberita selepas pengumuman prestasi dana terbaik PMB Investment dan pelancaran Brand Ambassador Programme di sini, Khamis. Disamping itu, beliau berkata, usaha itu juga bertujuan menghidupkan semula bangunan Mara sedia ada yang kurang mendapat sokongan akibat perniagaan yang tidak menonjol. "Kami ada beberapa bangunan Mara yang perlukan penambahbaikan dari segi produk jualan kerana pembeli tidak mahu melihat pakaian dan makanan sahaja dijual, mereka mahukan lebih seperti barangan IT yang menjadi keperluan masa kini," katanya. Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri menolak dakwaan subsidi sewa selama enam bulan yang diberikan kepada peniaga di Mara Digital Mall itu sebagai tindakan 'memanjakan' golongan Bumiputera, sebaliknya ia sebagai strategi pemasaran. Jelasnya, subsidi sewa itu diberikan sebagai bantuan sementara bagi peniaga memulakan perniagaan selama tempoh enam bulan sehingga perniagaan mereka stabil dan mendapat keuntungan. "Dulu semasa zaman saya ingin memulakan perniagaan, ada bangunan yang tempatnya maju dan dikenali ramai tetapi sewa bulanannya sangat mahal dan menjadi bebanan. "Jadi kami memahami peniaga ini dan beri peluang stabilkan perniagaan dan dapat untung sebelum dikenakan sewa selepas enam bulan," katanya menjawab kenyataan pihak tertentu mendakwa subsidi sewa selama enam bulan itu memanjakan peniaga Bumiputera. Menyentuh mengenai Brand Ambassador Programme, Ismail Sabri berkata, kempen berterusan dan agresif oleh kakitangan PMB Investment akan membantu meningkatkan jumlah pelabur terutama dalam kalangan golongan muda. Brand Ambassador Programme merupakan strategi pemasaran yang menggunakan kereta milik kakitangan PMB Investment sebagai ruang iklan untuk mempromosikan jenama PMB. - Bernama