suria

Lapan Keluarga Mangsa Banjir Di Maran Terima Rumah Baharu

Ismail Abd Muttalib (dua, kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada mangsa banjir Rosly Muhammad pada majlis Penyerahan Rumah Kekal Mangsa Banjir di Kampung Sembai pada Khamis.

MARAN:  Setelah rumah mereka musnah akibat banjir besar akhir tahun lalu, lapan keluarga di sini menerima rumah baharu pada Khamis.

Rumah berharga antara RM55,000 hingga RM60,000 itu dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air. 

Majlis Penyerahan Rumah Kekal Mangsa Banjir Daerah Maran di Kampung Sembai disempurnakan Anggota Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib yang jugaTimbalan Menteri Sumber Manusia.

Seorang penerima yang merupakan pesara kerajaan, Rusly Muhammad, 60,bersyukur menerima rumah tersebut.

"Sebaik banjir surut hampir setahun lalu, kami sekeluarga tinggal di bahagian dapur rumah pusaka keluarga kami yang bahagian hadapannya ranap dilanda arus kuat," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi penerima Rasimah @ Gayah Ibrahim, 76, turut bersyukur dengan rumah baharu yang lebih selesa daripada rumah asalnya.

"Lebih besar. Jika anak cucu balik pun mereka akan rasa selesa. Selama ini  mak cik tinggal di rumah ibu mak cik yang dibaiki semula," katanya.

Sementara itu Ismail berkata selain membina semula rumah yang rosak, sebanyak 70 pemilik turut menerima bantuan bagi membaik pulih rumah mereka yang keseluruhan melibatkan kos RM700,000. 

"Saya harap penerima akan memanfaatkan rumah baharu mereka sebaik mungkin,"katanya.-Bernama

Mangsa Banjir, Maran, Rumah baharu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain