GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) pada Sabtu meminta pihak yang menyebarkan berita berhubung dakwaan terdapat tumbuhan beracun yang menyebabkan kematian agar membuat aduan rasmi berserta bukti. Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam USM, Mohamad Abdullah berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan berhubung kajian sejenis tumbuhan yang didakwa telah mengakibatkan kematian yang menjadi viral di laman sosial. "Membuat viral tanpa bukti yang sahih seperti ini hanya akan menimbulkan masalah. USM sedia membuat siasatan rapi dengan kepakaran yang ada di Pusat Pengajian Sains Kajihayat mahupun bidang-bidang lain yang berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu. "USM juga memohon agar penyebaran maklumat ini dihentikan segera sehingga kita mempunyai bukti sahih untuk menjelaskan tentang dakwaan itu," katanya. Isu kematian yang dikaitkan dengan USM itu menjadi viral di laman sosial Facebook pada Sabtu. Seorang penuntutnya dikatakan meninggal dunia akibat leukemia yang didakwa disebabkan oleh sejenis tumbuhan beracun yang sedang diselidiki penuntut itu. - Bernama