suria

TPM Sedia Runding Insentif Khas Anggota Penguatkuasa Imigresen

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderahati dari Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafa Ibrahim (kanan) pada sambutan Hari Imigresen 2015, Sabtu.

MIRI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedia berunding dengan pihak berkaitan berhubung pemberian insentif penguatkuasaan sebanyak RM200 sebulan kepada semua anggota Jabatan Imigresen yang melakukan tugas penguatkuasaan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ini berdasarkan pencapaian hasil kutipan cukai berjumlah RM3.9 bilion bagi tempoh 1 Januari hingga 1 Disember lepas dan yakin jumlah itu akan terus meningkat menjelang hujung tahun ini.

"Sekiranya kutipan hasil terus meningkat, saya menyokong supaya dipertimbangkan bayaran insentif penguatkuasa kepada 12,685 pegawai Imigresen di seluruh negara," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Imigresen 2015 di sini, Sabtu.

Ahmad Zahid berkata bayaran insentif itu melibatkan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM30.4 juta setahun dan menambah pihaknya menyasarkan kutipan hasil berjumlah RM4.2 bilion tahun depan.

"Bagi menghargai Jabatan Imigresen, saya sedia berunding dengan timbalan-timbalan saya dan ketua setiausaha kementerian supaya elaun penguatkuasa ini diberi kepada pegawai Imigresen," katanya.

Sebelum ini, Jabatan Imigresen telah membuat kertas cadangan berhubung pemberian insentif khas itu kerana mendakwa sehingga kini anggota dan pegawai Imigresen tidak menikmati apa-apa insentif khas semasa tugas penguatkuasaan seperti agensi penguatkuasa yang lain.

Beliau berkata Jabatan Imigresen menghadapi pelbagai cabaran khususnya dalam menangani isu pendatang asing dan penguatkuasaan demi menjaga keselamatan negara.

"Saya menyarankan agar struktur organisasi Jabatan Imigresen dimantapkan dan diperkukuhkan dengan menaik taraf seluruh perjawatan termasuk pengurusan tertinggi, pengarah-pengarah bahagian, pengarah-pengarah Imigresen negeri serta jawatan-jawatan penting," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid mengumumkan pembinaan kuarters depot tahanan Jabatan Imigresen di Semuja, Serian dan pembinaan Pos Kawalan Sempadan Jabatan Imigresen di Ba'Kelalan, Lawas untuk menambah baik perkhidmatan Jabatan Imigresen Negeri Sarawak.

Beliau berkata sejumlah RM60 juta diluluskan untuk projek pembinaan depot tahanan itu yang dijangka bermula pada 30 Mei 2016 manakala RM20 juta lagi diluluskan untuk pembinaan pos kawalan di Ba'Kelalan.

Ahmad Zahid berkata perkhidmatan Jabatan Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu dan Miri akan mula beroperasi tahun depan, selain tempoh operasi di Pos Kawalan Imigresen Merapok dan Sindumin dilanjutkan daripada pukul 10 malam kepada 12 tengah malam.

Beliau berkata sebagai usaha meningkatkan tugasan penguatkuasaan Jabatan Imigresen Negeri Sarawak, seramai 100 orang pegawai Imigresen tambahan akan ditempatkan di negeri ini.

"Lima puluh orang telah ditempatkan dan bakinya akan dilakukan pada tahun depan," katanya.

Pada majlis yang sama, Ahmad Zahid turut melancarkan Pelan Strategik Jabatan Imigresen dan Kod Etika Jabatan Imigresen. -- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Lain