PORT DICKSON: Penyertaan Malaysia dalam Pakatan 34 negara Islam yang diketuai Arab Saudi untuk memerangi aktiviti militan dan keganasan, hanya untuk berkongsi maklumat dan tidak melibatkan operasi ketenteraan. Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, Malaysia menyertai pakatan itu kerana ia selaras dengan dasar negara yang menentang sebarang jenis keganasan. "Itu adalah Pakatan 34 negara untuk menentang keganasan, ia tidak melibatkan gabungan ketenteraan, bukan pakatan tentera. "Ia pakatan negara. Ia tidak melibatkan anggota tentera dan kita hanya berkongsi maklumat dan bertukar pandangan,"katanya pada sidang media selepas upacara Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Perakuan Tamat Latihan Pegawai Kadet Graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, Sabtu. Selain Malaysia, Pakatan 34 turut disertai Mesir, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Pakistan dan Afrika. Negara-negara itu menyertai Pakatan 34 bagi memerangi keganasan, dengan pusat operasi bersama berpangkalan di Riyadh untuk menyelaras dan menyokong operasi ketenteraan. Zulkifeli berkata, peningkatan cabaran keselamatan berbentuk bukan tradisional di rantau ini seperti jenayah rentas sempadan khususnya di sempadan darat negara, telah mempengaruhi rancangan kesiapsiagaan ATM. Selain itu, ia turut menuntut jalinan kerjasama serantau sebagai satu usaha positif seiringan dengan prinsip diplomasi yang dilaksanakan oleh kerajaan. "Konsep diplomasi ketenteraan seperti pengukuhan hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan negara-negara jiran akan terus dipertingkatkan menerusi rundingan kesepakatan serta kerjasama latihan. "Hubungan profesional yang dibina oleh ATM pastinya menjadi aset kepada negara dalam memperkukuh hubungan diplomatik yang terjalin menerusi pelbagai rangkaian politik di peringkat pucuk pimpinan negara," katanya. Turut hadir pada majlis itu ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Roslan Saad. Seramai 96 Pegawai Kadet (PK) Graduan terdiri daripada 52 PK Graduan Tentera Darat, sembilan PK Graduan Tentera Laut Diraja Malaysia, 33 PK Graduan Tentera Udara Diraja Malaysia dan dua PK Timbalan Setia Negeri Johor ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada majlis itu. - Bernama