suria

Kehidupan Orang Asli Semakin Terancam

GUYA MUSANG: Sejak beradab lalu, hutan dan sungai menjadi sumber utama kepada suku kaum Orang Asli, Temiar yang menjadi penghuni tetap negara ini.

Bagaimanapun dunia moden mula mengganggu kawasan penempatan mereka sehingga kehidupan Temiar kini semakin terancam.

Untuk hidup, mereka perlu menuai, berburu dan mendapatkan sumber asas seperti sediakala.

Tetapi Dendi Johari dari Kampung Penad mendedahkan pihak luar sering mengeksploitasikan penempatan dan tempat mereka mencari makan.

"Apabila berburu atau menangkap ikan, hasil yang dapat akan dikongsikan kepada semua di kampung," katanya sambil menambah amalan berkongsi merupakan gaya hidup mereka.

Limat Belias, 35, memberitahu, hutan umpama pasar raya bagi orang asli mendapatkan segala keperluan asas.

Menurutnya, daripada sumber makanan sehinggalah kepada keperluan membina rumah diperolehi dari hutan, termasuk perubatan.

Bagaimanapun aktiviti pembalakan sama ada haram atau berlesen telah menyebabkan sumber penting mereka kini terancam.

"Sekarang sangat susah untuk mencari haiwan dan mendapatkan tumbuhan yang boleh dimakan seperti dulu," ujar pemuda dari Kampung Sedal.

Lebih buruk katanya, banjir lumpur dan tanah runtuh lebih kerap berlaku ketika ini.

Limat mendedahkan, kawasan di kampung mereka tidak lagi dipenuhi pokok getah atau kelapa sawit serta tumbuhan semula jadi yang boleh digunakan.

Herry Boy Angah, 20, memberitahu, usaha untuk mendapatkan tumbuhan bagi sebarang ritual juga agak sukar dan mereka perlu berjalan jauh ke dalam hutan.

Lebih menyedihkan menurutnya, terdapat pihak luar yang merasuah penduduk atau Orang Asli untuk membenarkan mereka melakukan pencerobohan.

Temiar, Orang Asli

Artikel Sebelum

Artikel Lain