PETALING JAYA: Polis melaporkan pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari wilayah Chiang Rai ke wilayah Chiang Mai hilang kawalan di kilometer 43 lebuh raya No 118 ketika melalui Kampung Ban Pang Fan. Insiden yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi Ahad itu meragut nyawa 13 penumpang dari Malaysia manakala beberapa lagi dilaporkan cedera parah. Pasukan penyelamat, Uthai Pollaharn berkata bas hilang kawalan selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan di kawasan Danmae Kajan, Chiang Rai. Pemandu kenderaan, Kirssana Fongdawirat tidak mengalami sebarang kecederaan dan mengejar bas tersebut. Dia kemudiannya memaklumkan polis selepas melihat bas tersebut terbabas. Apabila bas tiba di kawasan tersebut, ia melanggar sebuah lagi kenderaan sebelum terbabas lalu merempuh tiang, batu besar dan pokok. Polis mendapati bas tersebut mengalami kerosakan teruk. Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan beberapa peralatan untuk memotong bahagian bas tersebut untuk mengeluarkan mayat dan mangsa yang cedera parah. Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin mengesahkan 13 rakyat maut dalam insiden itu. Sementara itu, bas yang dikendalikan Weerapan Tour itu membawa tiga penumpang lain, seorang konduktor bas dan pemandu yang dikenali sebagai Somporn Bualuang, 58. Penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Doi Saket di Tambon Choengdoi di wilayah itu. Uthai berkata kemalangan kerap berlaku di kawasan tersebut tetapi insiden pada Ahad antara yang terburuk kerana ramai nyawa terkorban. Gabenor Chiang Mai, Pavin Chamniprasart turut bergegas ke tempat kejadian dan melakukan tinjauan terhadap bangkai bas tersebut.