suria

Lelaki Disyaki Bunuh Anak Teman Wanita Ditahan

KLANG: Polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang disyaki membunuh anak lelaki teman wanitanya di Kampung Sungai Udang di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Azman Abdul Razak berkata suspek ditahan di rumahnya berdekatan lokasi kejadian pada 7.10 malam bersama-sama seorang wanita berusia 29 tahun, yang dipercayai adik iparnya.

Beliau berkata mayat kanak-kanak berusia empat tahun itu dibaluti tuala putih dan ditemui di dalam sebuah tandas yang tidak digunakan lagi, di dalam rumah itu.

"Siasatan polis terhadap mayat itu antara lain mendapati adanya kesan luka di bahagian kiri kepala serta kesan darah pada mulut dan hidung mangsa.

"Polis turut menemui tuala putih yang terdapat kesan darah dipercayai milik mangsa, sebatang rotan, sebatang paip PVC yang dipercayai digunakan untuk memukul dan mendera mangsa," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, malam Ahad.

Azman berkata pihaknya menerima aduan daripada jiran suspek yang berusia 29 tahun apabila suspek meminta bantuannya untuk melupuskan mayat mangsa, yang dipercayai meninggal dunia sehari lepas.

"Seramai 15 saksi di dalam rumah terbabit telah dipanggil membantu siasatan kejadian itu," katanya.

Mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk proses pengecaman. - BERNAMA

bunuh, teman wanita

Artikel Lain