KUALA LUMPUR: Nama Tan Sri Wong Pow Nee tidak akan menyertai senarai pemimpin utama tempatan lain dalam buku teks sejarah Tahun 6 yang turut digunakan oleh sekolah jenis kebangsaan Cina. Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, buku-buku sejarah itu sudah dicetak dan tidak lama lagi akan dihantar ke sekolah-sekolah. "Tidak akan ada lagi pindaan akan dibuat pada buku-buku sejarah," beliau dipetik sebagai berkata menerusi laporan Sin Chew Daily. Mahdzir berkata pembetulan juga telah dibuat terhadap negeri Melaka yang diberi label salah sebagai negeri Terengganu. MCA telah berjuang untuk menyenaraikan nama Pow Nee, yang menjadi Ketua Menteri pertama Pulau Pinang dan juga anggota Suruhanjaya Cobbold. Timbalan Presiden parti Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Pow Nee telah disenaraikan sebagai ahli Suruhanjaya Cobbold di halaman 4 dan 5, tetapi namanya tiada di muka surat 10 dan 11, yang memaparkan enam pemimpin utama yang membentuk Malaysia. Beliau menggesa Kementerian Pendidikan mempertimbangkan menambah nama Pow Nee dalam senarai nama sedia ada yang terdiri daripada Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan pemimpin lain dari pengasas parti Perikatan. Kedua-dua muka surat hanya memaparkan pemimpin Umno, Usno, SNAP dan SUPP tetapi pemipin MCA dan pemimpin MIC tidak disenaraikan. Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata beliau akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu sebelum mengeluarkan kenyataan.