PETALING JAYA: "Ayah, jom kita balik rumah," kata Lum Ker Sin, sebaik sahaja jasad bapanya, Lum See Seng, 63, yang terkorban dalam nahas bas di Chiang Mai, Thailand pada Ahad lalu, tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini awal pagi Rabu. Anak perempuan See Seng itu merupakan antara anggota keluarga 13 rakyat Malaysia yang maut dalam nahas tragik itu yang diterbangkan ke Chiang Mai untuk urusan pengecaman mayat sebelum dibawa pulang ke tanah air pada Rabu. Mereka diterbangkan dengan pesawat Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Diraja Thailand yang mendarat di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini masing-masing pada 3.32 pagi dan 3.38 pagi Rabu. Penghantaran pulang jasad rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas bas itu adalah hasil inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Saya telah mengarahkan pesawat C-130 kita dihantar ke Thailand untuk bawa pulang jenazah rakyat kita yang terkorban akibat kemalangan di Chiang Mai," katanya menerusi catatan di laman Facebook. Ker Sin, 23, mengiringi keranda bapanya yang diusung keluar dari pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Thailand bersama-sama 12 keranda jasad mangsa yang lain. Ketika keranda bapanya hendak dimasukkan ke dalam kereta jenazah, Ker Sin yang berkemeja-T putih dan berseluar jeans biru, memegang keranda itu dan kedengaran mengungkapkan: "Ayah, kita sudah sampai ke Malaysia. Jom kita balik rumah kita di Batu Pahat pula," dalam bahasa Mandarin dengan penuh hiba dan sayu. Ketika ditemui pemberita, Ker Sin berkata mayat bapanya, seorang penjual teh herba di Batu Pahat, akan dibakar terlebih dahulu mengikut upacara agama Buddha sebelum disemadikan di Batu Pahat. Selain jasad 13 rakyat Malaysia yang maut dalam nahas itu, turut dibawa pulang ialah seorang daripada lapan mangsa yang cedera iaitu Lee Siew Kim, 61, serta waris mangsa yang terlibat. Ketibaan mereka disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun. Mah, yang juga Presiden Gerakan, berkata pihaknya sedia menghulurkan bantuan dari segi pengangkutan dan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa nahas bas itu. "Kami akan bekerjasama dengan MCA dari segi memberi khidmat kaunseling kepada mangsa dan anggota keluarga mereka yang masih trauma dengan kejadian nahas itu," katanya kepada pemberita. Sementara itu, Pengurus Besar Chiu Travel Sdn Bhd Terence Young berkata kesemua kenderaan jenazah itu dijangka tiba di Batu Pahat pada 8 pagi Rabu. Beliau berkata turut berada dalam konvoi 13 kereta jenazah itu adalah sebuah bas yang membawa waris mangsa, sebuah ambulans, dan kereta satu daripada keluarga mangsa, diiringi tiga kenderaan polis. "Kesemua jasad akan dibawa ke beberapa buah rumah urus mayat sebaik tiba di Batu Pahat," katanya. Seramai 13 orang terkorban apabila bas yang membawa 22 rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan pada 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia) pada Ahad. Laporan berita sebelum ini menyebut bas itu terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap ketika dalam perjalanan dari wilayah Chiang Rai ke wilayah Chiang Mai. Lapan lagi rakyat Malaysia yang cedera masih dirawat di hospital di Chiang Mai, termasuk lima yang cedera parah. - BERNAMA