suria

PAS Hanya Bekerjasama, Bukan Bergabung Dengan BN

KOTA BARU: PAS menegaskan parti itu hanya bekerjasama dengan Umno dalam beberapa perkara melibatkan kepentingan Islam, masyarakat serta negara, dan bukannya menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai parti komponennya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia merupakan pendirian PAS sejak daripada dahulu lagi dan bukannya merupakan satu perkara baharu dalam pendekatan politik mereka.

"Cuma mungkin dalam suasana yang ada pada hari ini ia (kerjasama) menimbulkan banyak spekulasi. Untuk bersatu dengan Umno, masuk BN, itu semua tak ada.

"PAS memang (sedia) bekerjasama dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan ramai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, Rabu.

Beliau diminta mengulas agenda perpaduan antara kedua-dua parti politik itu dalam usaha memperkukuhkan umat Islam di negara ini.

Usaha ke arah perpaduan ini bermula dengan kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri yang menghulur "tali silaturrahim" kepada PAS pada Perhimpunan Agung Umno 2015 baru-baru ini.

Ia diperkukuhkan lagi dengan kehadiran bersama Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia pada minggu lepas.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata keputusan untuk bekerjasama dengan Umno dalam beberapa isu yang disepakati itu telah dibincangkan di peringkat parti.

"Benda ini (kerjasama) kita bincang di peringkat PAS Pusat dalam Lajnah Politik dan bukan keputusan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) seorang sahaja.

"(Semua) setuju, tak ada masalah (untuk bekerjasama dengan Umno). Sebab ini menyentuh kepentingan Islam. Bukan dengan Umno sahaja, dengan siapa-siapa kita boleh bincang, kita boleh duduk sekali," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata Parti Amanah Negara (Amanah) perlu mengotakan janji mereka untuk menyokong PAS dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dan bukannya bertindak meletakkan calon mereka untuk bertanding di negeri ini.

"(Pengerusi Amanah Kelantan) Datuk Wan Abdul Rahim (Wan Abdullah) pernah sebut dari awal parti itu tidak akan kacau Kelantan, (malah) mereka akan bersama dengan PAS untuk pertahan Kelantan dari Umno.

"Apa tujuan Amanah nak bertanding sebab bagi saya, jelas tindakan itu akan membantu Umno kerana ia akan memecahkan undi," katanya.

Presiden Amanah Mohamad Sabu sebelum ini dilaporkan berkata parti itu akan meletakkan calonnya di Kelantan pada PRU akan datang.-- Bernama



PAS, Umno, BN, Mohd Amar Nik Abdullah

Artikel Lain