PUTRAJAYA: Kerajaan akan menggunakan saluran diplomatik untuk membawa pulang mayat mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf, Bernard Then. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak berkuasa perubatan Filipina masih menjalankan ujian DNA terhadap kepala yang ditemui di kepulauan Jolo. "Sebaik sahaja ini dilakukan, kami akan membantu keluarga untuk membawa pulang mayat Then," kata Ahmad Zahid. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan polis menerima pengesahkan lisan dari rakan sejawatan di Filipina bahawa sampel DNA kepala yang ditemui di kepulauan Jolo sepadan dengan Then. Then, seorang jurutera dari Sarawak diculik dari sebuah restoran makanan laut, Ocean King di Sandakan pada 15 Mei lalu bersama dengan pengurus restoran tersebut, Thien Nyuk Fun,50. Kepala Then kemudiannya dipenggal Kumpulan Abu Sayyaf kira-kira pukul 4 petang pada 17 November lalu. Kepalanya ditemui berhampiran bangunan majlis perbandaran di Jolo pada hari yang sama.