KUALA LUMPUR: Orang ramai yang berada di Sunway Pyramid petang Rabu teruja melihat kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad, bagaimanapun lebih mengejutkan apabila bekas Perdana Menteri itu sebenarnya meluangkan masa untuk menonton filem Star Wars: The Force Awakens. Sebaik tiba pada pukul 2.45 petang, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali terus ke pawagam 3D IMAX di pusat membeli belah itu. Malahan, pihak pusat membeli belah itu juga terkejut menerima kedatangan negarawan itu kerana tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal. Filem yang dinanti-nantikan ramai itu mula ditayangkan pada pukul 3 petang. Bagaimanapun, ramai penonton yang tidak ketinggalan mengambil kesempatan untuk bergambar bersama pasangan itu. Selain itu, ada juga di kalangan netizen yang berkongsi kenangan manis menonton filem itu bersama Dr Mahathir.