BATU PAHAT: Lee Siew Kim, satu-satunya mangsa nahas bas di Chiang Mai yang terselamat dan kembali ke Malaysia menunjukkan perkembangan yang baik dan beransur pulih. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat telah melawat mangsa yang berusia 61 tahun ini di Hospital Sultanah Nora Ismail di sini pada Khamis untuk memeriksa keadaannya. Siew Kim mengalami gegaran dan kecederaan di dada serta anggota badan lain disebabkan kemalangan yang berlaku Ahad lalu apabila bas yang membawa 22 pelancong Malaysia terjunam ke dalam gaung ketika dalam perjalanan dari Chiang Rai ke Chiang Mai di Thailand. Ayub berkata keadaan Siew Kim kini stabil tetapi dia masih trauma dan tidak dapat tidur lena pada waktu malam. "Keluarga mahukan privasi dan tidak membenarkan orang lain atau media untuk melawat pesakit semasa proses pemulihan," katanya kepada pemberita selepas lawatannya. Beliau menambah lapan lagi mangsa yang terselamat tetapi cedera sedang dirawat di hospital-hospital di Thailand.