KUALA LUMPUR: Aliran trafik di lebuh raya utara-selatan menuju ke ibu kota dilaporkan perlahan petang ini dan jumlah kenderaan dijangka terus bertambah sehingga Sabtu malam. Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Expressways Sdn Bhd, berkata setakat 5 petang ini, aliran trafik dari arah utara dilaporkan bergerak perlahan di kawasan Seberang Jaya; Bukit Tambun menuju ke Jawi, Pulau Pinang; dan Changkat Jering ke Bukit Berapit, Perak. Aliran trafik bagi arah selatan juga dilaporkan perlahan di kawasan Senawang ke Seremban dan Ayer Keroh menuju ke Simpang Ampat, Melaka, kata jurucakap itu. "Peningkatan jumlah kenderaan sejak 1 tengah hari tadi dijangka berterusan sehingga malam ini," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Sabtu. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.-Bernama