suria

KPDNKK Galak Lebih Banyak Pasar Raya Sertai Kempen Turun Harga

Ahmad Bashah Md Hanipah.

JOHOR BARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggalakkan lebih banyak pasar raya menyertai Kempen Penurunan Harga (KPH) selaras dengan usaha kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sejak KPH dilancarkan di seluruh negara serentak pada 1 Mac lepas, ia telah banyak membantu dalam merancakkan aktiviti perdagangan domestik sekali gus meringankan beban kos sara hidup rakyat.

"Pada mana-mana pasar raya yang berminat, maklumkan pada kita. Kita akan turun ke situ dan maklumkan pada orang ramai," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan KPH 2015 di Econsave Taman Scientex, Pasir Gudang, di sini Ahad.

Ahmad Bashah berkata sehingga kini, kempen ini telah disertai 63 syarikat antaranya Econsave Cash  and  Carry, Giant, Tesco, AEON Big, The Store yang turut melibatkan 2,935 cawangan pasar raya di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan lebih 900,000 produk.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan pengguna agar bijak membuat pilihan dalam berbelanja sekali gus meringankan kos sedia ada.

Bagi KPH 2015 di Econsave, sebanyak 58 cawangan terlibat dalam menawarkan penurunan harga sehingga 25 peratus bagi 1,000 barangan merangkumi barangan keperluan rumah dan barangan penjagaan bayi.

Kempen itu adalah selama tiga bulan, yang bermula 1 Disember lepas sehingga 29 Februari tahun hadapan.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata 6,591 kes dicatatkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 melibatkan jumlah rampasan bernilai RM1.4 juta dari awal tahun sehingga Sabtu.

Sebanyak 1.86 juta premis diperiksa dan sebanyak RM914,406 denda dan kompaun telah dikeluarkan melibatkan kesalahan termasuk tiada tanda harga, mengambil keuntungan yang berlebihan dan juga tanda harga yang mengelirukan.

Hadir sama dalam majlis itu Pengarah KPDNKK Johor Nor Nekman Jaimon dan Timbalan Pengarah Penguatkuasa Datuk Iskandar Abd Halim. - BERNAMA

KPDNKK, kempen turun harga

Artikel Lain