BATU PAHAT: Mayat nenek berusia 55 tahun, Lana Ismail, mangsa terakhir yang hilang dalam kejadian rakit tenggelam di Sungai Bekok, Yong Peng, di sini petang semalam, ditemui awal pagi Ahad. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng Penolong Penguasa Bomba Bakarya Mohd Salleh berkata mayat Lana ditemui anggota bomba dan orang awam pada kira-kira 8.15 pagi. "Mayat Lana ditemui terdampar di tebing di bawah jambatan kira-kira 150 meter daripada lokasi kejadian," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini, Ahad. Turut berada di lokasi terbabit, anak Lana, Ali Abdul Raman Hairaddin, 28, yang terselamat dalam kejadian itu. Bakarya berkata seramai 32 anggota bomba termasuk unit skuba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak petang Sabtu. Beliau berkata anggota bomba bersama bot melakukan teknik pencarian di permukaan sejak petang Sabut hingga pagi Ahad manakala unit skuba turut melakukan penyelaman sejak petang semalam sebelum menangguhkannya pada 2.25 pagi Ahad. Katanya mayat Lana kini diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Dalam kejadian kira-kira 3 petang Sabtu, rakit membawa 10 orang yang mempunyai hubungan keluarga itu tenggelam ketika kesemua mangsa sedang menyeberang sungai berkenaan untuk melihat ternakan kambing mereka. Dua beradik iaitu cucu Lana, Muhammad Iman Naqiudin Nas Izhar, 2, dan adiknya, Muhammad Ikhwan Nasaruddin Nas Izhar, 10 bulan, lemas sejurus kejadian itu. Anak Lana, Mohd Aiman Arif Hairaddin, 10, turut hilang dalam kejadian itu dan mayatnya ditemui kira-kira dua meter dari lokasi rakit dilaporkan tenggelam, 8.40 malam Sabtu. Selain Ali Abdul Raman, mangsa yang terselamat lain adalah Hairaddin Masran, 58, Nor Diana Alisa Hairaddin, 31, Junaidah Yang, 28, Siti Farahida Hairaddin, 26, serta Muhamad Ali An-naqi Abdul Raman, 2. - BERNAMA