KUALA LUMPUR: Seorang penilai emas di sebuah kedai pajak gadai pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini atas pertuduhan melakukan pecah amanah barang kemas berjumlah lebih RM250,000. Lee Chen Hui, 18, yang juga kerani di kedai itu didakwa melakukan pecah amanah ke atas barang kemas berjumlah RM267,920 yang diamanahkan terhadapnya di Kedai Pajak Gadai Fong, Taman Melawati, Ampang Jaya antara Julai hingga November lepas. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua orang penjamin, namun peguam Keshreena Sidhu yang mewakili Lee memohon jaminan sebanyak RM10,000 atas alasan anak guamnya kini tidak lagi bekerja dan disara oleh bapanya yang bekerja sebagai pemandu lori. Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 28 Jan depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA