KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Selasa menetapkan 5 Januari untuk mendengar permohonan pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Azmi Sharom supaya perbicaraan kes hasutannya didengar di Mahkamah Tinggi. Penolong Kanan Pendaftar Asfahani Hamzah menetapkan tarikh itu selepas kes itu disebut di dalam kamarnya dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie dan peguam Gobind Singh Deo, mewakili Azmi. Gobind Singh, kemudiannya memberitahu pemberita bahawa Mahkamah Tinggi lebih sesuai untuk mendengar dan menentukan persoalan undang-undang berkaitan permohonannya bagi Mahkamah Tinggi mendengar kesnya. "Kami bimbang dengan hakikat bahawa jika dibicarakan di Mahkamah Sesyen, hak Azmi untuk merayu akan berakhir di Mahkamah Rayuan," katanya. Pada 16 Disember lepas, Hakim Mahkamah Sesyen menolak permohonan Azmi untuk menangguhkan perbicaraan kesnya di mahkamah itu dan menetapkan 8 Januari untuk perbicaraan. Azmi, 46, didakwa menyebut perkataan menghasut berhubung komennya dalam berita bertajuk 'Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told', di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Jalan Hang Tuah di sini pada 12.30 tengah hari, 15 Ogos 2014. Azmi, yang juga Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM, juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan iaitu menerbitkan perkataan menghasut berhubung krisis sama, pada masa dan tempat yang sama. Kedua-dua pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA