KUALA LUMPUR: Tiada peluang pekerjaan, kata Tengku Razaleigh Hamzah sebagai reaksi balasnya terhadap saranan rakan politiknya di dalam Umno supaya rakyat Malaysia melakukan dua pekerjaan. Baru-baru ini, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan mengemukakan cadangan tersebut kepada rakyat Malaysia dalam usaha mengatasi kos sara hidup yang semakin meningkat. "Masalah yang kita hadapi sekarang adalah tak ada pekerjaan. Macam saya, satu kerja pun tak ada," katanya selepas melancarkan tabung kemanusiaan pelajar Melayu Mesir oleh Perkasa pada Selasa. Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li yang juga Ahli Parlimen Gua Musang enggan mengulas sama ada cadangan Ahmad itu wajar. Ahmad dipetik Astro Awani pada Sabtu sebagai berkata:"Saya fikir tidak salah (untuk mempunyai dua pekerjaan) walaupun kita ada peraturan, tetapi ia salah satu cara untuk menangani kenaikan kos sara hidup. "Rakyat Malaysia boleh memulakan perniagaan dalam talian untuk menambah pendapatan," katanya dalam satu majlis bersama usahawan di Johor. Cadangan Ahmad mendapat kritikan di kalangan rakyat Malaysia dengan ada yang menjadikan kenyataan beliau sebagai satu bahan lawak.