suria

Dua Individu Menyamar Polis Samun Warga Asing Ditahan

JOHOR BARU: Dua lelaki yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan menyamun warga Myanmar di Jalan Sentosa, Larkin ditahan malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, sejurus menerima maklumat dari orang awam, lima anggota ronda bermotosikal segera ke lokasi kejadian pada 8.15 malam.

"Tindakan cepat pihak polis ke lokasi kejadian membolehkan mereka menangkap suspek yang masih berada di rumah mangsa samun itu," kata beliau menerusi satu kenyataan di sini, Rabu.

Sebelum itu, kedua suspek berkenaan telah masuk ke dalam rumah mangsa dan mengaku sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad warna merah kepada dua orang warga Myanmar itu.

"Suspek kemudiannya bertindak memukul kedua-dua lelaki Myanmar itu dengan sebatang kayu sambil mengarahkan mereka mengeluarkan pasport," katanya.

Sulaiman berkata, pihak polis turut merampas sebatang kayu panjang lebih kurang satu meter, sekeping kad kuasa polis atas nama seorang suspek dan sebuah motosikal.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan Samun dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua suspek juga positif dadah jenis Amphetamine, dan kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai polis. - Bernama

Artikel Lain