KUALA LUMPUR: Lima buruh warga asing cedera dengan seorang daripadanya parah apabila sebahagian struktur Melawati Mall di Taman Melawati di sini yang dalam pembinaan, runtuh malam Rabu. Berikutan kejadian kira-kira 10 malam itu, semua buruh binaan warga Indonesia dan Bangladesh itu dihantar ke Hospital Ampang di sini, bagi mendapatkan rawatan lanjut. Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata kejadian dipercayai berlaku apabila perancah di tapak pembinaan itu tiba-tiba runtuh dan menghempap pekerja terbabit. "Lima pekerja cedera dan seorang daripadanya parah. Pekerja yang parah terperangkap, namun berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat. "Ketika kejadian terdapat 25 pekerja di tapak pembinaan itu," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian. Mohd Sani berkata bomba sedang melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada lagi mangsa berada di bawah runtuhan itu. "Buat masa ini, kami menggunakan khidmat unit anjing pengesan, sekiranya masih terdapat mangsa di bawah runtuhan," katanya, sambil menambah punca sebenar runtuhan masih dalam siasatan. Operasi mencari dan menyelamat disertai kira-kira 50 anggota terdiri daripada bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Kementerian Kesihatan. Sementara itu, Pengarah Projek Bina Puri Holding Berhad Anthony Lee berkata pihaknya akan menyalurkan pampasan terhadap kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden ini. "Kesemua pekerja telah dilindungi insurans," katanya. Seorang mangsa dikenali Mohd Azis, 28, ketika ditemui berkata beliau bersyukur kerana terselamat daripada ditimpa perancah sokongan itu. "Ketika kejadian saya sedang meratakan simen di tingkat satu bangunan itu sebelum perancah sokongan itu tiba-tiba runtuh," kata pekerja warga Indonesia itu. - BERNAMA