suria

Isu Perolehan, Pemerdagangan Manusia Tumpuan Kertas Pemeriksaan & Perundingan SPRM 2015

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 130 kertas pemeriksaan dan perundingan berhubung isu perolehan, orang tengah dan pemerdagangan sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata daripada jumlah itu, 297 cadangan penambahbaikan sistem dihasilkan dan dikemukakan kepada agensi kerajaan dan swasta agar dapat menutup ruang dan peluang perlakuan rasuah.

Mustafar berkata pembukaan kertas pemeriksaan dan perundingan (KPP) bertujuan meneliti kelemahan dalam sistem dan prosedur sesebuah organisasi yang membuka ruang berlakunya gejala rasuah, salah guna kedudukan dan penyelewengan.

"Langkah pencegahan itu amat penting yang mana KPP melihat semula secara proaktif tentang sistem dan prosedur kerja yang ada dalam sesuatu tindakan atau bidang kerja yang dilaksanakan," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, KPP merupakan dokumen yang merekodkan perjumpaan pegawai SPRM dengan pihak-pihak tertentu sama ada jabatan, kerajaan atau swasta berhubung isu dan masalah yang dihadapi di sesuatu kawasan.

Mengambil contoh isu Cameron Highlands yang menjadi fokus utama pada tahun 2014, kata Mustafar SPRM melihat kejadian banjir melibatkan penerokaan tanah secara haram, sistem saliran tertutup atau mendapan aliran sungai sebagai kemungkinan wujudnya rasuah.

"Apabila SPRM melihat ada ruang untuk rasuah, kami akan turun padang dan berjumpa dengan ketua-ketua jabatan atau pihak terlibat untuk memberi nasihat serta berbincang syor penambahbaikan.

"Ini adalah kerana agar pihak terlibat boleh melakukan pindaan sewajarnya ke atas amalan, sistem dan tatacara yang lemah bagi mengelakkan berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan," jelas beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata dengan pembukaan KPP, kelemahan-kelemahan ini dapat dikenal pasti dan seterusnya cadangan penambahbaikan diberikan kepada organisasi melalui sesi khidmat nasihat.

Sehubungan itu, Mustafar berkata SPRM kemudiannya akan melaksanakan pemantauan secara berkala ke atas organisasi terbabit iaitu tiga bulan selepas khidmat nasihat diberikan, enam bulan selepas pelaksanaan cadangan dan satu tahun selepas pelaksanaan cadangan.

"Ada kalanya, SPRM juga memantau selama tiga tahun selepas pelaksanaan cadangan bagi kes-kes yang kompleks dan melibatkan pindaan terhadap pekeliling dan undang-undang," katanya.

Kepada satu soalan, Mustafar berkata sekiranya ketua badan awam atau swasta gagal melaksanakan cadangan yang dipersetujui bersama, maka Laporan Ketidakpatuhan akan diedarkan bagi membolehkan tindakan undang-undang atau tindakan pentadbiran diambil.

Menurutnya lagi, penerimaan cadangan oleh organisasi terlibat adalah 100 peratus manakala pelaksanaan adalah antara 90 hingga 95 peratus.

"Sebanyak 10 hingga 20 peratus agensi yang diberi khidmat nasihat masih di peringkat mahu melaksanakan disebabkan beberapa faktor dan sebab," katanya, sambil menambah pentingnya tindakan pencegahan untuk memastikan peringkat akar umbi dibersihkan.

Mustafar menerangkan isu-isu perolehan berkaitan dengan ketirisan, ketelusan atau yang melibatkan sistem dan prosedur yang masih tidak sempurna seperti sistem tender dan perolehan kontrak secara terhad.

"Isu perolehan dibangkitkan setiap tahun, antaranya isu spesifikasi yang termaktub dalam kontrak pembekalan, perolehan atau perkhidmatan yang diberikan tidak seperti yang dipersetujui. Oleh itu, SPRM akan siasat dan berbincang bersama kementerian itu untuk melaksanakan penambahbaikan," katanya.

Dalam pada itu, Mustafar mengakui isu orang tengah dalam penguatkuasaan dan perolehan khususnya perolehan kerajaan dengan menggunakan pengaruh pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan kontrak. Ini masih menjadi tumpuan SPRM.

"Kami tidak kata ia rasuah lagi, tetapi ada satu penghubung antara satu kontraktor kepada pihak berkenaan atau orang tengah terlibat dalam aspek perkhidmatan termasuk penguatkuasaan, sebagai contoh mendapatkan lesen, pasport," jelasnya.

Mustafar juga berkongsi antara kejayaan SPRM selepas membuka KPP berhubung isu kuota bazar Ramadan di Kuala Lumpur pada 2013, yang perkara ini telah dibincang bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan ditambah baik, serta diselesaikan pada tahun lalu. - BERNAMA

SPRM

Artikel Lain