suria

Gudang Perkakas Besi, Bengkel Cat Kereta Musnah Dalam Kebakaran

GEORGE TOWN: Sebuah gudang perkakas besi, bengkel cat kereta dan sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Haji Hashim Imam dekat sini, pada 2.30 petang Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yamin Tekor berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.49 petang dan jentera pertama tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kita lihat api sedang marak di gudang tersebut dan merebak ke kedai mengecat kereta bersebelahannya," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Beliau berkata api marak dengan cepat berikutan cuaca panas, selain bangunan tersebut yang terletak terlalu hampir antara satu sama lain.

Yamin berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata seramai 43 pegawai dan anggota bomba dengan tiga jentera terlibat dalam operasi memadam kebakaran tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan