PUTRAJAYA: Polis berjaya menahan empat lelaki tempatan yang menyamar sebagai anggota polis dengan memeras ugut dan meminta wang tebusan daripada seorang warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, petang Sabtu. Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata tiga suspek berumur antara 35 dan 47 tahun ditahan di balai pelepasan KLIA, manakala seorang lagi berumur 54 tahun ditangkap di sekitar Jalan Masjid KLIA. Dalam kejadian 3.35 petang Sabtu, seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja di kedai serbaneka, pergi ke KLIA untuk menjemput adik dan sepupunya yang baru tiba dari Bangladesh untuk melancong di negara ini, sebelum didatangi empat lelaki mengaku sebagai polis. "Suspek kemudian mengarahkan mangsa pulang dan menyediakan wang sebanyak RM15,000 bagi mendapatkan kembali adik dan sepupunya itu," katanya. Bertindak atas maklumat, Abdul Aziz berkata polis membuat beberapa serbuan dan tangkapan antara 5 dan 6.30 pagi, dan berjaya menyelamatkan dua lelaki Bangladesh di Aras 5, KLIA pada Ahad. Beliau berkata hasil siasatan mendapati perancang utama kumpulan terbabit mempunyai lima rekod jenayah lampau berhubung kes yang sama. - BERNAMA