suria

21 Lebuhraya Laksana Tol Elektronik Sepenuhnya Tahun Ini

CYBERJAYA: Kesemua 21 lebuh raya di Lembah Klang akan melaksanakan sistem pembayaran tol elektronik sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, kata Yang Dipertua Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) Datuk Ir Zainudin A Kadir.


Beliau berkata langkah tersebut merupakan inisiatif bagi menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang lebih mudah, selesa dan membantu pengguna menikmati perjalanan lebih lancar di setiap plaza tol.

"Secara purata, kutipan tol secara manual adalah sebanyak 360 transaksi setiap jam berbanding 1,000 transaksi dengan penggunaan Smart Tag dan lebih 700 transaksi dengan menggunakan Touch n Go," katanya pada taklimat media di Ibu Pejabat Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) di sini Selasa.

Beliau berkata syarikat konsesi lebuh raya akan menanggung kos RM150,000 setiap lorong, termasuk kos kerja-kerja konfigurasi dengan pelaksanaan sistem pembayaran tol elektronik itu.

Zainudin berkata pelaksanaan sistem pembayaran tol elektronik sepenuhnya tidak akan melibatkan pemberhentian jurutol sebaliknya mereka akan ditugaskan ke bahagian lain termasuklah khidmat pelanggan, memeriksa sistem dan membuat pemantauan di tol plaza.

Katanya terdapat kira-kira 3,500 jurutol di seluruh negara pada masa kini.

Zainudin berkata sistem pembayaran tol elektronik sepenuhnya dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Malaysia mula melaksanakan sistem pembayaran tol secara elektronik di Bangunan Sultan Islandar, Lebuhraya PLUS pada 16 Disember 2008 dan disusuli dengan beberapa plaza tol di Lebuhraya Linkedua dan Lebuhraya PLUS, katanya.

Plaza Tol Mambau dan Plaza Tol Lukut di Lebuhraya Seremban-Port Dickson melaksanakan sistem pembayaran tol secara elektronik pada 1 Jun tahun lepas, dan diikuti tujuh lagi lebuh raya dengan 12 plaza tol pada 9 Sept lalu.

Zainudin berkata 10 plaza tol di empat lebuh raya iaitu MEX, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grandsaga) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) akan melaksanakan sistem pembayaran tol secara elektronik sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari, 13 Januari ini.


Plaza-plaza tol terlibat termasuklah tiga plaza tol di Lebuhraya MEX iaitu Plaza Tol Salak Selatan; Plaza Tol Putrajaya dan Plaza Tol Seri Kembangan, tiga plaza tol di Lebuhraya NPE (Plaza Tol PJS2; Plaza Tol PJS5 dan Plaza Tol Pantai Dalam), dua plaza tol di Lebuhraya Grandsaga (Plaza Tol Batu 9 serta Plaza Tol Batu 11) dan dua lagi plaza tol di Lebuhraya LKSA (Plaza Tol Seri Muda dan Plaza Tol Alam Impian).


Zainudin berkata syarikat konsesi lebuh raya terbabit akan menawarkan beberapa insentif kepada pengguna termasuk pengedaran 140,000 kad Touch n Go secara percuma di mana pengguna perlu membayar nilai kredit sebanyak RM5.


Selain penawaran unit Smart tag bernilai RM99 dengan tambah nilai Touch n Go RM20, beliau berkata pemberian rebat sebanyak 10 peratus selama dua bulan untuk kenderaan kelas 1 bermula 13 Januari sehingga 12 Mac tahun ini.


Zainudin yang turut ditanya sama ada kerajaan dalam perbincangan untuk menamatkan konsesi lebuh raya berkata: "Setakat ini, tiada."

Artikel Lain