suria

Kanak-Kanak "Dijual" Kepada Pasangan Warga Singapura Kini Bawah Jagaan JKM

Angie Tiong kini berada di bawah jagaan JKM.

JOHOR BARU: Kanak- kanak perempuan berusia tiga tahun, Angie Tiong, yang didakwa oleh bapa kandungnya diculik kini disahkan selamat dan berada dalam jagaan Jabatan Kebajian Masyarakat (JKM) Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang mengesahkan perkara itu berkata, kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak polis kira-kira pukul 9.30 malam Ahad di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

"Penyerahan dilakukan oleh wakil pasangan suami isteri yang mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat," kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini Isnin.

Beliau berkata pasangan itu merupakan rakyat Malaysia tetapi menetap di Singapura setelah mendapat status penduduk tetap.

Mereka tidak mempunyai anak dan menjalankan perniagaan.

Pada 11 November lalu, bapa Angie membuat laporan polis kononnya anaknya diculik pada hari sebelumnya selepas menyedari anaknya itu tidak pulang selepas kali terakhir dia diambil oleh seorang rakan dari sebuah hotel bajet di Taman Pelangi, di sini.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu kemudiannya didapati tidak diculik sebaliknya diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri di Singapura yang telah membayar sejumlah RM12,000 kepada seorang ejen.

Siasatan lanjut kemudian mendapati bapa kandung kanak-kanak itu sebenarnya telah menandatangani perjanjian dengan seorang lelaki yang bertindak sebagai 'orang tengah' pada satu tempoh yang tidak didedahkan.

Perjanjian itu adalah untuk 'menjual' kanak-kanak itu dan sejurus penyerahan anaknya, bapa Angie dibayar RM12,000.

Wan Ahmad Najmuddin berkata susulan siasatan, polis telah menahan reman bapa kanak-kanak itu yang berusia 33 tahun dan telah dibebaskan pada 30 Disember lalu.

"Dia masih lagi dipantau dan pasangan suami isteri pula akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat," katanya.




Angie Tiong, culik, Singapura

Artikel Lain