KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu melancarkan program 'Trim and Fit 2016' untuk warganya bagi memastikan tahap kesihatan pegawai dan anggotanya menjadi lebih baik. Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Zulkifli Abdullah berkata program yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya buat pertama kali untuk tempoh enam bulan mulai hari ini melibatkan 35 pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Pengurusan Bukit Aman. "Program itu bagi menggalakkan warga PDRM mengamalkan gaya hidup sihat, dan sekali gus menangani masalah kesihatan termasuk obesiti," katanya selepas melancarkan program itu, di sini Rabu. Zulkifli berkata antara program yang akan dijalankan ialah ceramah dan rundingan setiap bulan mengenai pemakanan dan tentang cara melakukan aktiviti fizikal di rumah. "Dengan program ini, kita percaya tahap kecergasan mereka akan kekal cergas dan mampu melaksanakan tanggungjawab dan amanah mereka sebagai anggota polis," katanya. Zulkifli berkata sekiranya program itu berjaya selepas berakhirnya tempoh enam bulan nanti, ia akan turut diperluaskan dalam kalangan warganya di seluruh negara yang turut bekerjasama dengan jabatan kesihatan di setiap negeri. "Pada masa hadapan nanti, kita mungkin akan mengaplikasikan program ini dalam prasyarat bagi kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan di kalangan anggota dan pegawai polis sebagai satu dorongan kepada mereka," katanya. Beliau berharap program perintis ini dapat membantu mempertingkatkan tahap kesihatan anggota polis memandangkan tahun lepas seramai 250 warga polis meninggal dunia ketika menjalankan tugas akibat pelbagai penyakit.