suria

Shahrom Lepasi Jarak Dua Pertiga Jelajah Kutub Selatan

KUALA LUMPUR: Penjelajah tunggal negara, Shahrom Abdullah melepasi jarak dua pertiga penjelajahannya di Kutub Selatan selepas 27 hari berski dalam Misi Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) Rentas Kutub Selatan.

Penasihat Misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Selatan 2015 Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof berkata Shahrom telah mencapai jarak lebih 630 kilometer dalam tempoh 27 hari tanpa sebarang masalah.

"Alhamdulillah, saya mendapat maklumat bahawa Shahrom sudah melepasi jarak dua pertiga misi merentas Kutub Selatan dan ini memberi satu petunjuk yang baik untuk Shahrom menamatkan misi itu dengan jayanya.

"Jadi saya berharap, rakyat Malaysia sama-sama berdoa agar Shahrom berada dalam keadaan yang baik untuk menamatkan baki jarak penjelajahannya itu", katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Akmar Hisham berkata, Shahrom hanya perlu berski kurang 300 kilometer sahaja lagi untuk tiba di titik sifar darjah Kutub Selatan iaitu destinasi yang ditetapkan bagi melengkapkan misi merentas benua ais paling sejuk di dunia itu.

Shahrom kini secara konsisten berski sejauh 25 hingga 28 kilometer sehari dengan rutin perjalanan satu kilometer dan rehat selama 10 minit sambil bertukar posisi pengemudi arah dengan dua lagi penjelajah dari United Kingdom dan Jordan, katanya. 

"Pada 24 Disember lalu, Shahrom tiba di lokasi pengambilan bekalan makanan yang ditetapkan untuk mengisi semula stok makanannya sepanjang ekspedisi itu. Setakat ini, Shahrom hanya berehat sehari iaitu pada 25 Disember lalu sempena cuti sambutan Krismas. 

"Shahrom memulakan ekspedisinya pada 10 Disember lalu selepas tertangguh selama dua minggu akibat masalah penerbangan dari Union Glacier ke Messner Inlet kerana cuaca tidak mengizinkan," kata Akmar. 

Shahrom, 36, atlet sukan lasak negara kini dalam misi 60 hari merentas Kutub Selatan menggunakan ski sejauh 1,000 kilometer dari Messner Inlet ke titik kosong darjah.

Sekiranya berjaya menamatkan penjelajahan itu, beliau bakal mencipta satu rekod baharu sebagai rakyat Malaysia pertama merentas benua Antartika dengan berski sejauh 1,000 kilometer. KE7B dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada awal bulan Julai 2015. 

Akmar Hisham berkata dalam misi ekspedisi itu, Shahrom turut membawa bekas air istimewa I-MIZU, tajaan daripada sebuah syarikat Bumiputera, yang akan membolehkan beliau menggunakannya untuk menukar air daripada salji yang dicairkan untuk diminum. 

Air itu juga akan bertukar menjadi air hidrogen beralkali yang berperanan khusus untuk memberi tenaga tambahan dan segala bahan mineral yang diperlukan oleh Shahrom sepanjang penjelajahannya itu, katanya.-- Bernama

Shahrom Abdullah, Kutub Selatan, KE7B

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain