Hakim Datuk John Louis O'Hara membuat cadangan itu dalam kamar hari ini selepas bertemu peguam Sangeet Kaur yang mewakili Anwar dan peguam Y.S Ling bagi pihak Dr Mazlan Ismail.
Sangeet memberitahu pemberita bahawa kesemua pihak akan berbincang berhubung cadangan proses mediasi itu dan menetapkan 22 Februari ini untuk pengurusan kes dan 9 hingga 13 Mei ini untuk perbicaraan kes itu jika proses mediasi gagal.
Pada 15 Oktober tahun lepas, Anwar, 69, selaku plaintif, memfailkan saman itu dengan menamakan Mazlan sebagai defendan pertama, Sistem Televisyen Malaysia (TV3) dan Utusan Melayu (M) Bhd, masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.
Dia mendakwa Mazlan mengadakan persidangan media yang mengandungi perkataan fitnah yang serius dan berniat jahat membawa maksud beliau seorang yang tidak beretika, terlibat dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.
Anwar menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi yang menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.