KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang termasuk seorang pegawai kanan, kerana disyaki menerima rasuah bernilai lebih RM100,000 daripada pelombong bauksit tidak berlesen di negeri ini. Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azmi Baki berkata semua suspek berusia antara 30 hingga 38 tahun itu ditahan di sekitar Kuantan, antara pukul 6 petang dan 9 malam semalam, hasil siasatan selama lebih dua bulan setengah. "Kami turut menjumpai wang tunai dalam jumlah yang banyak di rumah mereka, termasuk di dalam mesin basuh di rumah pegawai kanan terbabit, yang dipercayai duit hasil aktiviti rasuah itu," katanya pada sidang media di Kompleks SPRM di sini, Khamis. Beliau berkata suspek memberikan perlindungan kepada aktiviti perlombongan bauskit secara haram dengan menggunakan modus operandi menjual Borang 13D, iaitu Dokumen Pemindahan Bijih Mineral yang dikeluarkan oleh PTG kepada pelombong bauksit bagi tujuan peengangkutan bahan mineral itu. Borang itu yang hanya sah untuk satu trip perjalanan, akan dibawa dan dikemukakan oleh pemandu lori semasa mengangkut bauksit dari tempat simpanan ke pelabuhan dan perlu ditunjukkan jika lori ditahan agensi penguatkuasaaan, serta perlu dicop di pelabuhan bagi tujuan pengiraan termasuk untuk pembayaran royalti, tambah beliau. "Borang berkenaan yang dikenali sebagai docket dalam kalangan penduduk tempatan sebenarnya berharga RM1, namun dijual kepada pelombong haram pada harga antara RM150 hingga RM200," katanya. Azmi berkata serbuan yang dilakukan turut menjumpai borang berkenaan dalam kuantiti yang banyak dalam simpanan semua suspek, yang kini ditahan reman sehingga 14 Januari ini. Siasatan dijalankan atas kesalahan menerima rasuah mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. Katanya SPRM mula menerima maklumat berkaitan isu perlombongan bauksit pada pertengahan 2015, namun aduan itu melibatkan isu pencemaran alam sekitar, yang berada di luar bidang kuasa suruhanjaya itu. "Kami tidak dapat campur tangan kerana tiada elemen rasuah. Tapi jangan kata kami tidak ambil tindakan kerana kami lakukan risikan yang tidak dihebahkan atas faktor kerahsiaan maklumat dan sensitiviti," katanya. Azmi juga tidak menolak kemungkinan SPRM akan melakukan tangkapan susulan khususnya orang tengah dan pegawai kerajaan termasuk dari agensi lain berhubung isu bauksit. Beliau memohon supaya orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan rasuah dalam perlombongan bauksit untuk tampil ke pejabat SPRM, kerana siasatan dalam isu rasuah memerlukan saksi. Selain itu, Azmi juga berkata siasatan juga mendapati ketirisan berlaku apabila siasatan setakat ini mendapati kutipan royalti kepada kerajaan negeri berjumlah RM47 juta pada tahun 2015 sepatutnya dianggarkan berjumlah lima kali ganda daripada jumlah itu. "Ini menyebabkan kerajaan negeri kerugian dari segi kutipan cukai dan kami berpandangan ini berlaku disebabkan rasuah atau penguatkuasaan yang lemah," katanya.