IPOH: Seorang wanita maut manakala seorang lelaki melecur 40 peratus di badannya dalam kebakaran sebuah rumah di sini awal pagi Khamis. Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi di kawasan perumahan Hala Bekor 2, Taman Pertama itu, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas kerana asap tebal. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh P.Samasuvam berkata tiga mangsa berada dalam rumah itu dan anggotanya terpaksa memecahkan pintu belakang rumah untuk mengeluarkan semua mangsa. "Mangsa lelaki yang melecur 40 peratus di badannya dan seorang lagi wanita yang mengalami sesak nafas kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi mendapatkan rawatan manakala mangsa yang terkorban turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat," katanya. Menurut Samasuvam pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai mengenai kebakaran itu pada pukul 2.06 pagi dan tiba di lokasi lapan minit kemudian. Katanya tiga jentera bomba dari Jalan Kompleks Sukan serta satu unit pasukan Kecemasan Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (ERMS) dengan kekuatan 20 anggota berjaya memadam kebakaran dalam tempoh 10 minit. Identiti kesemua mangsa dan punca kebakaran belum dikenal pasti, katanya.