suria

Khutbah Jumaat Beri Amaran Mengenai Kebinasaan Vape

PETALING JAYA: Walaupun Selangor masih belum mengeluarkan fatwa mengenai penggunaan vape, jabatan agama Islam negeri itu telah mengeluarkan khutbah Jumaat yang mengutuk mengenai penggunaan rokok elektronik itu.

Menerusi teks yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang dibacakan oleh semua masjid di negeri itu, khutbah itu mengatakan bahawa penggunaan vape didapati berbahaya berbanding kebaikan kepada masyarakat.

Khutbah itu memberitahu bahawa vape tidak membantu perokok tegar untuk berhenti merokok, tetapi penggunaannya akan menimbulkan masalah lebih serius seperti penagihan dadah.

Ia berkata, kebanyakan pengguna vape tidak menyedari kandungan cecair rokok elektronik itu dengan mengatakan bahawa "apa yang dimasukkan ke dalamnya seperti syabu, ganja, dadah dan mungkin perisa berbahaya."

Khutbah itu memetik maklumat jurnal-jurnal perubatan dan kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan mengatakan bahawa penggunaan vape mempunyai kesan jangka panjang bagi kandungan "formaldehyde" yang boleh mengakibatkan kanser.

"Menurut Pakar Perubatan dan Pernafasan di Pusat Perubatan Prince Court, dakwaan yang mengatakan asap yang terhasil dari rokok elektronik adalah cecair biasa dan bukannya nikotin adalah salah sama sekali.

"Hakikatnya, rokok elektronik mempunyai nikotin yang boleh meningkatkan kadar denyutan nadi dan pengaliran hormone ‘adrenalin’ serta melembapkan sistem urat saraf," menurut teks khutbah itu.

"Selain itu, nikotin juga mengakibatkan denyutan nadi yang luar biasa, penyempitan sauran nadi, peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar, ulser perut dan usus serta mati pucuk," katanya.

Khutbah itu turut mengatakan bahawa kos bagi merawat penyakit tersebut seperti kanser paru-paru akan meningkat dari tahun ke tahun dengan bertambahnya bilangan kes seperti vape.

"Pada tahun 2010 sahaja kos rawatan bagi menangani penyakit-penyakit tersebut sebanyak RM2.9 bilion, berbanding hasil cukai rokok sebanyak RM2 bilion sahaja.

"Sudah pasti kos tersebut akan meningkat dari tahun ke tahun dengan bertambahnya bilangan kes. Adakah kita mahu menambah satu lagi masalah dengan kemunculan vape pula?" menurut teks khutbah berkenaan.

Khutbah Jumaat itu diakhiri dengan meminta jemaah supaya menghentikan "gaya hidup tidak sihat" kerana Islam menggesa supaya penganutnya tidak "membahayakan diri mereka sendiri".

"Pengusaha vape hendaklah meninggalkan perniagaan tersebut walaupun ianya mendatangkan keuntungan yang lumayan.

"Pihak berkuasa hendaklah bertegas dengan tidak memberikan lessen perniagaan dan mencegah serta mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape walaupun ianya memberikan keuntungan kepada sesetengah pihak," menurut khutbah itu.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan mengharamkan penggunaan vape di kalangan umat Islam di negara ini.

Johor dan Kelantan telah mengharamkan penjualan vape, manakala Selangor masih membuat pertimbangan. Negeri Sembilan membenarkan penjualan vape tetapi mengharamkan orang Islam menggunakannya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kajian terperinci dikendalikan untuk membincangkan mengenai kesan menggunakan vape.

Industri vape di Malaysia bernilai setengah juta ringgit merupakan kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan yang terbesar di Asia.

Vape, Jais

Artikel Lain