KUANTAN: Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) berada dalam keadaan kritikal, petanda tidak baik untuk pesakitnya. Penghawa dingin tidak berfungsi, tingkap dibiarkan terbuka bagi membolehkan udara masuk dan 'kipas berdiri' digunakan untuk menyejukkan pesakit dan peralatan penting. Namun kakitangan di hospital tersebut terpaksa bekerja dalam keadaan panas dan tiada jalan penyelesaian atau segera diambil. Kakitangan hospital bekerja di dalam bilik yang terperap dan perlu memastikan pesakit tidak menanggung kesakitan akibat kesan luka terlantar di atas katil dalam tempoh yang lama. Mereka ternyata kecewa dan merugut tentang keadaan persekitaran di tempat kerja. "Hujan turun beberapa hari lalu tetapi cuaca kembali panas. "Semua orang berpeluh tetapi sekurang-kurangnya kami boleh menukar pakaian. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana keadaan pesakit yang terlantar sakit," kata seorang pegawai perubatan. Seorang jururawat berkata pihak pengurusan hospital menyedari situasi tersebut kerana banyak aduan dibuat agar sistem penghawa dingin dibaiki. "Kami tidak tahu apa yang menyebabkan ia tertangguh. "Saya berharap agar kami boleh mendapatkan penghawa dingin mudah alih pada hujung minggu ini," katanya. Seorang pelawat, Wilson Ramamoorthy, 49, berkata dia terkejut apabila melihat bilik ICU beroperasi tanpa sistem penghawa dingin. "Keadaan amat panas dan lembap di dalam. Mengapa tidak disediakan penghawa dingin mudah alih dalam unit yang menjadi keutamaan. "Doktor dan jururawat berkata mereka juga turut terkesan tetapi tiada apa yang dapat dilakukan. Saya bersimpati dengan kakitangan dan juga pesakit," katanya. Wilson yang melawat abangnya, Sundaraj, 55, yang berada dalam koma selepas kemalangan jalan raya bulan lalu berkata dia bimbang keadaan tingkap terbuka akan meningkatkan risiko jangkitan di kalangan pesakit. Tingkap terbuka juga membolehkan nyamuk dan lalat memasuki ICU. "Sekiranya seseorang mati akibat jangkitan, siapa yang akan bertanggungjawab?," soal Wilson. Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata sistem penghawa dingin yang sudah uzur di blok tersebut tidak berfungsi sejak tiga bulan lalu. Menurut beliau pembekal perkhidmatan sokongan hospital meletakkan beberapa unit penyejukan mudah alih di unit penting secara berperingkat sebagai penyelesaian sementara. "Tender untuk membaiki sistem penyaman udara telah dikeluarkan dan kami menjangka kerja pembaikan akan bermula pada Mac," katanya. Namun, kerja pembaikan itu mungkin memakan masa sehingga satu setengah tahun kerana kerosakan yang teruk. Dr Zainal Ariffin menjelaskan bahawa ia melibatkan kerosakan besar termasuk unit bekalan kuasa, jadi seluruh sistem perlu digantikan.