suria

SOP Baharu Tangani Pencemaran Bauksit Dikeluarkan Tiga Bulan Lagi

LEDANG: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu dalam menangani isu pencemaran alam sekitar akibat perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang dalam tempoh tiga bulan.

Timbalan Menterinya, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, ia kini dalam kajian dan perbincangan terperinci mengenainya sedang dijalankan bersama beberapa agensi berkaitan.

"Kementerian sebenarnya sudah mempunyai SOP sedia ada mengenai aktiviti perlombongan bauksit berdasarkan beberapa bengkel peringkat kementerian yang diadakan sebelum ini, tetapi kita perlu menambah baik beberapa perkara terutama hal yang melibatkan beberapa aspek yang kurang memuaskan.

"Kita akan menggunakan tempoh moratorium untuk meneliti SOP itu bersama agensi di bawah kementerian serta pihak berkuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan sebagainya," katanya.

Beliau yang juga anggota Parlimen Ledang berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Program Sembang Santai Hati Ke Hati Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Gambir di sini, Jumaat.

Menurut Hamim, sekiranya SOP baharu itu dipatuhi pengusaha, aktiviti melombong dan mengeksport bauksit boleh beroperasi semula namun harus memastikan keadaan alam sekitar diutamakan.

"Di peringkat kementerian, selagi aktiviti itu tidak mencemarkan alam sekitar dan tidak memberi kesan kesihatan kepada orang ramai, kita akan terima (aktiviti melombong)," katanya.

Rabu lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan bahawa kerajaan akan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Januari ini.

Wan Junaidi berkata, bagi membendung masalah pencemaran akibat bauksit, kerajaan juga telah membekukan pengeluaran Permit Kelulusan (AP) untuk menjalankan operasi perlombongan sejak minggu lepas. - Bernama

bauksit

Artikel Lain