Menteri berkenaan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perkara itu terkandung dalam penambahbaikan peraturan membawa bauksit, hasil perbincangan bersama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan akan diserahkan kepada kerajaan negeri Pahang.
Beliau tidak menolak kemungkinan penggunaan kotak hitam atau teknologi terkini lain, jika tiada pilihan lain bagi memastikan tiada lori bauksit dipandu melebihi had laju yang ditetapkan.
"Kita adakan had laju kepada lori kerana ada pemandu yang mahu mengambil lebih banyak trip akan dipandu laju yang membahayakan penduduk dan menyebabkan pencemaran.
Liow, yang juga Anggota Parlimen Bentong, berkata tumpuan juga akan diberi kepada pelabuhan dan beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Saripuddin Kasim untuk meninjau serta memastikan semua syarat yang ditetapkan dipatuhi agar tiada pencemaran berlaku di laut.
"Kementerian akan memastikan saranan oleh JAS seperti tidak membenarkan bauksit bertaburan dan tidak dijadikan tempat simpanan, menggunakan sistem kepungan supaya debu tidak ditiup angin dipatuhi," katanya.
Beliau memaklumkan kementerian turut mendapatkan saranan daripada Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IM0) berkaitan pengangkutan bauksit di laut kerana pernah berlaku sebuah kapal membawa bauksit yang tidak mengikut peraturan tenggelam sehingga mengorbankan 18 nyawa.
Mengulas mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu bauksit, Liow berkata beliau mengalu-alukan perkara itu bagi kepentingan semua pihak.
Sementara itu, Liow menyeru lebih ramai orang perseorangan dan syarikat swasta untuk membantu usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, khususnya kepada pelajar sekolah jenis kebangsaan yang perlu menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa.