KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil enam lagi pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang bagi membantu siasatan rasuah melibatkan perlombongan bauksit. Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata enam suspek itu, termasuk seorang wanita, berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun, diarahkan hadir ke pejabat SPRM di sini pagi ini. "Bagaimanapun mereka dilepaskan selepas memberi keterangan dan pemeriksaan dilakukan di rumah dan pejabat masing-masing," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, Ahad. Azam berkata ada antara mereka disyaki terlibat menjual dokumen pemindahan bijih mineral atau Borang 13D secara haram kepada pelombong tidak berlesen. Borang itu yang disebut sebagai docket oleh penduduk setempat, dikeluarkan PTG dengan bayaran RM1, namun siasatan SPRM mendapati borang berkenaan dijual pada harga antara RM150 dan RM200 setiap satu. Setakat ini, SPRM telah menahan tujuh individu, termasuk seorang pegawai kanan dan tiga pegawai PTG kerana disyaki menerima rasuah daripada pengusaha lombong bauksit haram. Tiga lagi yang ditahan adalah orang awam, termasuk seorang wanita yang dipercayai berperanan sebagai orang tengah dalam penjualan Borang 13D, yang perlu disimpan pemandu lori semasa proses pengangkutan bahan mineral itu.-- Bernama