JOHOR BARU: Trak Mack termahal di dunia milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dilaporkan membuat kemunculan sulung di Malaysia. Trak raksasa yang dipercayai mencecah RM1.4 juta itu dikesan oleh seorang penunggang motosikal yang tidak melepaskan peluang dengan merakamkan gambar dan video. Klip video berdurasi 47 saat yang disiarkan melalui laman Facebook "Penyokong Setia Johor" sejak Rabu lalu turut menunjukkan sekumpulan anggota polis bermotosikal mengiringi trak tersebut di lokasi yang tidak diketahui. Selain itu gambar Mack, dipercayai diambil di sebuah stesen minyak berhampiran Istana Pasir Pelangi turut menerika lebih 4,500 'like' sejak ia dimuat naik pada Rabu. Teruja dengan kemunculan pertama Mack, orang ramai menyamakan kenderaan berwarna merah-biru itu dengan watak terkenal dalam filem Transformers - Optimus Prime. Ada dikalangan pengguna Facebook turut menyatakan rasa gembira dan menyimpan hasrat untuk menyaksikan sendiri trak itu sewaktu siri ekspedisi Kembara Mahkota Johor yang akan datang. Pengguna Facebook Dharma Hafizul Marali menulis "Optimus Prime dah sampai kat Johor la..hehe Terbaik". Seorang lagi pengguna, Muhd Fadzly Abd Ghaffar menulis "Autobots...rollout!" Oktober lalu, majlis penyerahan trak tersebut berlangsung di Dataran King George di Brisbane yang dibuat khas, didedahkan Naib Presiden Mack Trucks Australia, Dean Bestwick dengan ciri eksklusif yang tidak akan didapati dalam trak Mack yang lain. Antara ciri eksklusif yang dimaksudkan ialah enam kamera litar tertutup (CCTV), dua set televisyen, dapur barbeku dan katil kelamin, selain tempat duduk yang dijahit dengan benang emas.