suria

Kementerian Pendidikan Cadang Ubah Format UPSR Seperti PT3 - Mahdzir Khalid

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan bercadang mengubah format Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada 40 peratus Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan 60 peratus peperiksaan seperti pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian akan mengadakan pertemuan dengan semua pihak berkepentingan secara berperingkat pada tahun ini bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap cadangan itu.

"Sebenarnya, cadangan ini kita hampir laksanakan tetapi ditangguhkan. Jadi,  boleh cuba kemukakan semula.

"Dalam setahun ini, kementerian akan berjumpa semua pihak terlibat. Jika mereka setuju, ia akan dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan tahun baharu 2016 kementerian, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa.

Selain itu, beliau berkata gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bermula 2016 hingga 2020 akan menentukan kejayaan sistem pendidikan negara bukan sahaja dari aspek akademik malah psikometrik, kokurikulum dan pembinaan insan.

"Jika suatu hari nanti kombinasi dalam PBS menjadi lebih berkesan, itulah pelajar yang kita kehendaki untuk masa depan bukan sahaja berasaskan akademik semata-mata," kata Mahdzir.

Dalam masa yang sama, beliau berkata aspek pengajaran dan pembelajaran juga perlu diberi tumpuan bagi mengekalkan keharmonian dalam sistem perguruan.

Untuk itu, katanya, komunikasi dua hala antara kementerian dan semua peringkat kepimpinan sekolah, pejabat pendidikan daerah dan negeri perlu dipertingkatkan.

"Jika ada idea yang lebih baik, beritahulah kepada kementerian, saya boleh terima. Tak perlu tunggu sahaja arahan atau pekeliling dari kementerian.

"Menteri dan semua peringkat tertinggi kementerian ini, kami berkhidmat untuk pihak sekolah. Kementerian bekerja untuk menentukan kejayaan sekolah," katanya.-- Bernama

UPSR, PT3, Mahdzir Khalid

Artikel Sebelum

Najib Lawat Hadi Di IJN

Artikel Lain