suria

Jasa Tun Abdul Razak Mengasaskan Felda Sentiasa Dikenang - Peneroka

KUANTAN: Tanah rancangan Felda yang dibangunkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein lebih 50 tahun lalu merupakan antara sumbangan terbesar Perdana Menteri kedua itu kepada masyarakat.

Seorang peneroka Felda Bukit Sagu 1 di sini mengakui kehidupan yang dikecapinya kini jauh lebih baik sebelum menyertai Felda pada tahun 1982.

Mustaffa Ismail, 70, yang dahulu bekerja sebagai penoreh getah di Pokok Sena, Kedah, menyatakan penghijrahannya dari negeri jelapang padi itu ke Pahang untuk menyertai Felda 34 tahun lepas merupakan keputusan yang tepat.

"Apabila saya mula sampai ke Felda ini 34 tahun lalu, keadaan ladang sawit tidak seberapa, namun saya telah mengusahakannya sehingga kini mendatangkan pulangan yang lumayan.

"Syukur kerajaan memberikan tanah sawit 10 ekar di sini dan kehidupan keluarga pun lebih stabil dan semakin baik," katanya kepada Bernama sambil menyatakan dia pernah menerima pulangan mengusahakan kelapa sawit sehingga RM6,000 sebulan.

Mustaffa yang juga seorang imam di Felda Bukit Sagu 1 berkata hasil pendapatan sebagai peneroka Felda, kedua-dua anak perempuannya dapat menjejak kaki ke menara gading, sehingga mereka kini bergelar peguam.

Anak sulungnya Nor Hidayah, mempunyai firma guaman di Kuantan manakala anak keduanya Nor Munirah, merupakan peguam sivil dan syariah.

"Kalau saya tak masuk Felda, memang saya tak pernah mengimpikan kehidupan seperti ini. Saya juga tidak pernah menyangka dua anak perempuan saya akan menjadi peguam," katanya.

Sementara itu, seorang peneroka di Felda Bukit Sagu 2, Melah Busu, 56, turut menghargai jasa Allahyarham Tun Razak yang membolehkannya menikmati kehidupan yang lebih selesa selepas menyertai Felda pada tahun 1988.

"Memang dahulu orang Melayu yang tinggal di kampung susah hendak cari makan.

Pendapatan tidak menentu. Mujur kami terpilih menyertai rancangan Felda dan diberi tanah 10 ekar untuk setiap peneroka," katanya yang menyertai Felda 27 tahun dahulu.

Azhari Ismail, 62, peneroka generasi pertama Felda Kemahang I di Tanah Merah, Kelantan, pula berkata Felda sekarang sudah dilengkapi kemudahan jalan raya, bekalan air, elektrik, rumah selesa, sekolah rendah, sekolah menengah, klinik, masjid, kedai runcit dan tempat beriadah - amat berbeza dengan keadaan semasa 1970-an.

Menceritakan pengalamannya meneroka tanah rancangan itu daripada hutan belantara pada 1973, Azhari berkata ketika itu mereka terpaksa tidur di rumah panjang, minum air telaga dan menggunakan pelita minyak tanah sahaja.

Beliau bersyukur kerana jasa Allahyarham Tun Razak membuka tanah rancangan itu, kehidupan keluarganya berubah menjadi lebih baik dengan kesemua empat orang anaknya berjaya ke menara gading.

Seorang lagi peneroka di situ, Lijah Hassan, 57, berkata: "Kami berterima kasih kepada Felda yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Razak kerana membantu golongan seperti kami untuk memajukan kehidupan sehinggakan kami dapat menyara tiga daripada lima orang anak kami di universiti.

"Jika tidak kerana bantuan dan dorongan daripada pihak Felda, rasanya kami tidak merasai kesenangan ini, kami hanya tahu tanam pisang, ubi kayu sahaja," katanya.

Peneroka di Felda Pasak, Kota Tinggi, Johor, Ali Mohamed, 64, pula mengimbas kembali lawatan Allahyarham Tun Razak ke sebuah kawasan Felda dengan bertongkat dan meniti jambatan kayu yang disiarkan menerusi televisyen. 

Katanya ia menunjukkan betapa pemimpin itu berhati besar dan sanggup turun padang meninjau keadaan rakyat meskipun berasal daripada keluarga ternama.

"Jasa arwah Tun Razak yang mahu meletakkan orang Melayu di persekitaran bandar dengan membuka kawasan rancangan Felda amat dihargai. Perjuangan beliau untuk kami telah memberi nikmat dan faedah yang berpanjangan dan amat dirasai sampai sekarang," katanya.

Ketua Kampung Felda Pasak, Wahab Hussin, 54, berkata ramai anak kelahiran Felda mempunyai kerjaya profesional sekarang, berkat usaha program pendidikan yang diusahakan semasa Allahyarham Tun Razak membuka tanah rancangan.

Felda Pasak dibuka pada 1966 di kawasan 1,285 hektar bagi penanaman kelapa sawit (80 peratus) dan getah (20 peratus) dengan 3,000 penduduknya kini turut menjalankan aktiviti penternakan kambing, lembu dan perniagaan makanan sejuk beku sebagai kegiatan ekonomi mereka.

Felda ditubuhkan pada 1 Julai, 1956 atas inisiatif Allahyarham Tun Razak antaranya bagi membantu orang susah dan membangunkan kawasan luar bandar serta meningkatkan ekonomi negara melalui eksport getah dan minyak kelapa sawit.-- Bernama


Tun Abdul Razak, Felda

Artikel Lain