suria

Kerajaan Setuju Pinda Akta Lambang Dan Nama

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) susulan penganugerahan pingat dan darjah kebesaran oleh individu yang tidak diiktiraf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet hari ini setelah mengambil maklum isu penganugerahan yang semakin berleluasa terutamanya yang membawa gelaran 'Datuk' dan 'Datuk Seri'.

"Anugerah yang dimaksudkan bukan sahaja melibatkan individu yang mendakwa berketurunan raja dalam negeri malah, oleh sultan atau raja di negara-negara jiran yang tidak diiktiraf oleh negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu pemberian anugerah itu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang mungkin mempunyai agenda tertentu.

Azalina berkata status penggubalan rang undang-undang itu masih di peringkat dasar kerana memerlukan pengesahan termasuk dari negeri-negeri mengenai penggunaan gelaran dan panggilan.

"Setelah rang undang-undang itu dimuktamadkan, ia akan dikemukakan semula kepada Majlis Raja-Raja untuk persetujuan sebelum dikemukakan untuk kelulusan Jemaah Menteri dan seterusnya dibawa ke Parlimen," jelas beliau.

Artikel Berikut

Artikel Lain