suria

Kerani Jualan Terkejut Penyerang Suruh Telefon Polis

SUNGAI PETANI: Pembantu jualan Liang Seow Pheng tidak takut apabila seorang pemuda mengacukan sepucuk pistol kepadanya di sebuah kompleks beli-belah, tempat di mana dia bekerja.

"Saya melihat di atasnya ada pelekat dan tahu bahawa ia adalah pistol mainan, jadi saya menolaknya ketepi," kata wanita berusia 27 tahun itu.

"Tetapi kemudian dia mengeluarkan pisau dan ketika itu saya takut."

Seow Pheng menganggap lelaki berusia 16 tahun itu sedang mabuk atau khayal dan memutuskan untuk menurut kemahuannya.

Katanya dia telah menyedari kehadiran lelaki itu di pasaraya itu sebelum ini, tetapi tidak menghiraukannya, kerana berfikir dia sedang menunggu rakannya.


Lelaki itu datang kepadanya semasa dia sedang menyusun CD muzik.

"Tempat itu terletak betul-betul di pintu masuk pasaraya dan dia mengarahkan saya untuk duduk selepas menarik keluar pisau.

"Saya bertanya kepadanya apa yang dia mahu. Dia tidak menjawab tetapi selepas beberapa ketika dia memberitahu saya supaya memanggil polis," katanya.

Seow Pheng berkata, ketika polis tiba, lelaki itu tidak menentang penangkapannya.

"Dia melakukan seperti yang diarahkan dan menyerahkan begnya apabila diminta oleh anggota polis," katanya.

Katanya, dia terkejut apabila mengetahui bahawa lelaki itu telah direkrut oleh kumpulan pengganas Negara Islam (IS).


"Saya banyak mendengar mengenai IS. Ia adalah lebih menakutkan daripada pisau yang diacukan ke arah saya," katanya.

C. Segaran, pengawal keselamatan di pasaraya itu yang berusia 53 tahun berkata dia tidak dapat berbuat apa-apa ketika melihat pemuda itu mengacukan pistol kepada Seow Pheng.

"Saya fikir itu pistol betul," katanya.

Dia bagaimanapun sedar kehadiran lelaki itu yang memasuki pasaraya.

"Saya melihat dia muntah beberapa kali sebelum kejadian. Bagi saya, dia kelihatan sakit atau dalam pengaruh dadah," kata Segaran.
IS, militan, kerana jualan

Artikel Berikut

Artikel Lain