Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan polis dengan bantuan pekerja ladang pada pukul 3.15 petang.
Katanya lelaki itu dipercayai bersembunyi di ladang kelapa sawit berkenaan selepas menikam bekas isteri dan anak tirinya di rumah pekerja ladang tersebut pada Isnin lepas.
Suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kejadian itu disaksikan anak lelaki mereka berusia 14 tahun yang turut berada di rumah pekerja berkenaan tetapi tidak dicederakan bapanya itu.
A. Sahak berkata tiada senjata tajam dirampas daripada lelaki itu dan siasatan lanjut akan dijalankan untuk mencari senjata yang digunakan dalam kes berkenaan.
Berikutan penangkapan lelaki itu, beliau turut berterima kasih kepada orang awam yang sama-sama membantu polis hingga tertangkapnya suspek.
A.Sahak turut menghargai peranan media dalam membantu polis hingga dapat menyelesaikan kes itu.