PETALING JAYA: Jabatan Penjara pada Khamis menafikan dakwaan mengenai empat banduan melarikan diri dari Penjara Sungai Udang, Melaka. Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, berita berkenaan yang kini tersebar di media sosial adalah tidak benar. "Berita tersebut adalah sama sekali tidak benar. Tidak ada mana-mana banduan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Udang atau mana-mana penjara lain," kata jabatan itu. Pada Khamis, berita yang mendakwa empat banduan berjaya melarikan diri dari Penjara Sungai Udang tersebar di media sosial. Jabatan Penjara akan membuat laporan polis berhubung penyiaran berita berkenaan yang disifatkan sebagai menjatuhkan imej jabatan itu dan boleh menimbulkan situasi cemas kepada masyarakat sekitar.