ASSALAMUALAIKUM. Sejak hujung November 2015 Tanah Suci Makkah dan Madinah menjadi tumpuan umat Islam di seluruh dunia untuk mengerjakan umrah. Alhamdulillah, saya diundang sekali lagi untuk menunaikan umrah pada tanggal 9 Disember 2015. Umpama mimpi sejurus saya membaca whatsapp daripada kakitangan TM Tours, Nor Haita, pada suatu petang tatkala saya sedang asyik menonton televisyen. “Kak Ana nak pergi umrah tak sebagai ketua jemaah pada 9 Disember ni? Bawa 20 jemaah. Jika ok, bawa pasport dengan gambar.” Begitu whatsapp daripada Nor Haita pada 9 November. “Subhanallah, Alhamdulillah, Masya Allah,” balas saya ringkas kerana perlu bertanya dan meminta izin daripada suami terlebih dahulu. Tanpa berlengah, saya terus menghubungi suami dan menyatakan perkara berkenaan. “Alhamdulillah. Pergilah,” jawab suami ringkas yang sedang sibuk dengan tugasan di pejabat ketika itu. Sejurus itu juga, saya menghantar whatsapp kepada Nor Haita dan melampirkan sekali salinan muka depan pasport sebelum urusan memproses visa. Hanya pada 11 November saya menyerahkan pasport dan buku suntikan saya kepada Nor Haita. Bersyukur, terharu dan gembira. Perasaan saya ketika itu bercampur baur kerana baru saja empat minggu pulang dari menunaikan ibadat haji, saya diundang lagi sebagai tetamu Allah untuk membawa jemaah umrah. Alhamdulillah. Saya memaklumkan kepada anak-anak dan ibu tersayang. “Humaira, insha Allah umi akan berangkat ke Makkah pada 9 Disember ini,” ujar saya girang. “Hah?” Umi tak boleh pergi…” kata Humaira dengan nada terkejut. “Panggilan daripada Allah. Siapa yang tak nak pergi ke sana. Insha Allah umi akan pergi…” balas saya tersenyum. Sekembalinya anak bongsu saya dari sekolah saya turut menyatakan perkara yang sama. “Hajar, insyaAllah Umi akan pergi Makkah bulan depan,” ujar saya tersenyum memandangnya. “Kenapa asyik Umi je pergi sana. Tak boleh,” ujar Hajar manja. “Eh, sepatutnya Hajar mesti bersyukur kerana Allah selalu jemput umi ke sana. Dapat doakan kita semua,” pujuk suami saya. “Yelah. Bukan lama pun umi pergi, 12 hari saja. Nanti boleh dapat jubah lagi…” usik saya pula. Kursus umrah diadakah pada 5 Disember 2015 pada kira-kira jam 9 pagi di Masjid UTM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Taklimat ringkas mengenai keberangkatan jemaah disampaikan oleh Pengarah Urusan TM Tours, Haji Ridzwan Abdullah manakala ceramah ibadat umrah pula dibimbing oleh Ustaz Kamaruddin. Sempatlah saya berkenalan dengan jemaah yang bakal berangkat bersama-sama saya. Semua tampak gembira dan tidak sabar menunggu 9 Disember. Tiba hari dinanti, berkumpullah kami di KLIA2 pada jam 4.30 petang. Kami menaiki pesawat Air Asia yang dijadualkan berlepas pada jam 8.30 malam. Setelah urusan daftar masuk selesai, kami membawa haluan masing-masing di dalam terminal berlepas. Pesanan saya kepada jemaah sebelum berangkat agar menunaikan solat Maghrib dan qasar solat Isyak. Semua akur. Ketika itu, ada 15 jemaah wanita, tidak termasuk saya manakala empat lagi lelaki. Alhamdulillah. semua kelihatan mudah mesra. Pelbagai pesanan Nor Haita maklumkan kepada saya sebelum berangkat, termasuk menyerahkan senarai semak tugasan untuk memudahkan tugas yang perlu saya galas sepanjang di Tanah Suci Madinah serta Makkah. Saya lihat semua jemaah terus masuk ke pintu pelepasan antarabangsa sejurus selesai taklimat berangkat namun saya pula masih bersama-sama keluarga. Hanya setelah solat Maghrib, saya mengucapkan selamat tinggal kepada suami dan anak-anak. Kali pertama saya menaiki pesawat Air Asia untuk ke Jeddah. Justeru, saya bertanya kepada beberapa rakan yang pernah menaiki Air Asia ke Jeddah malah turut melayari internet dan membaca catatan pengalaman jemaah umrah yang menaiki pesawat berkenaan. Alhamdulillah, hasil pembacaan itu saya dapati semua memberi gambaran positif, sekali gus melenyapkan segala kebimbangan untuk menaiki pesawat berkenaan. Hampir jam 9 malam, pesawat berlepas ke Jeddah. Perjalanan itu mengambil masa kira-kira sembilan jam. Di dalam pesawat, kami menikmati dua kali hidangan, iaitu nasi lemak Pak Naseer dan nasi ayam halia. Tepat jam 1.30 pagi waktu tempatan, pesawat dinaiki tiba di landasan lapangan terbang King Abdul Aziz di Jeddah. Syukur Alhamdulillah. Kami tiba tepat pada waktu yang dijadualkan. Terasa dingin sejurus tiba di lapangan terbang. Hakikatnya ketika itu, musim sejuk di Arab Saudi. Saya memantau pergerakan jemaah. Kami tidak terus keluar ke imigresen sebaliknya perlu berkumpul di dalam dewan menunggu sehingga petugas di lapangan terbang mengarahkan agar kami beratur di Imigresen. Menunggu dan menunggu sehingga giliran kami tiba. Semua sabar kerana sudah dimaklumkan kelewatan bakal ditempuhi di imigresen kerana jumlah kemasukan jemaah begitu ramai sebab musim cuti sekolah. Difahamkan, jemaah terpaksa menunggu lama untuk urusan imigresen kerana sistem kemasukan jemaah yang baru dikuatkuasakan di Arab Saudi. Bukan hanya jemaah saya yang menunggu penuh sabar malah jemaah dari agensi pengendali umrah yang lain pun kelihatan sungguh sabar dan memahami keadaan yang perlu ditempuhi untuk memasuki Arab Saudi. “Hajah, jam berapa Subuh? Ni dah jam 4 pagi,” tanya Haji Othman. “Jam 5.30 pagi. Insha masuk azan Subuh, kita akan dengar azan,” balas saya ringkas. Menunggu seorang demi seorang melepasi pemeriksaan pasport sungguh memenatkan dan ini jelas terpancar pada raut wajah jemaah yang keletihan setelah melalui perjalanan di dalam pesawat semalaman. Tepat jam 5.32 pagi, azan berkumandang menandakan masuk waktu Subuh. Jemaah yang sudah melepasi pemeriksaan pasport boleh menunaikan solat di ruang musolla berhampiran pengambilan bagasi. Namun, mereka yang belum melepasi pemeriksaan pasport perlu bersolat di sekitar kawasan jemaah berbaris menunggu giliran. “Semua solat di belakang situ ye. Jika nak tunggu selesai, mesti waktu Subuh pun dah tamat. Jadi kita kena solat di belakang ni,” pesan saya kepada jemaah. “Nak ambil wuduk di mana hajah?” tanya jemaah dari Sarawak. “Kita gunakan air di dalam botol wuduk. Kita tak boleh keluar dari sini sebab urusan pasport belum selesai. Di kawasan ni pula tiada tandas atau tempat ambil wuduk,” ujar saya. Selepas itu, seorang demi seorang berwuduk menggunakan botol wuduk dan bersolat Subuh di bahagian belakang kaunter imigresen. Ada sebahagian jemaah saya sudahpun melepasi pemeriksaan dan mereka menunggu di ruang menuntut bagasi. Alhamdulillah, pada jam 7 pagi, semua urusan pasport selesai dan semua jemaah bergerak ke tempat pengumpulan bagasi untuk mengambil beg masing-masing. Setelah semua berkumpul, kami bergerak bersama-sama untuk keluar dari situ. Tiba di luar terminal haji, saya meminta semua jemaah duduk berkumpul setempat sementara menunggu kedatangan bas. Sebelum itu, saya sudahpun beberapa kali menghubungi Adi yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan kenderaan dari Jedah ke Jeddah untuk memaklumkan pergerakan kami. Tepat jam 7.30 pagi, bas pun tiba dan saya meminta jemaah menaiki bas yang akan membawa kami ke Madinah. Perut mula berkeroncong setelah enam jam berada di terminal haji. Justeru, saya meminta pemandu bas berhenti di kawasan rehat untuk kami mengalas perut. Setelah setengah jam keluar dari terminal haji, pemandu bas berhenti di sebuah perhentian rehat. Semua jemaah turun dan meninjau perhentian rehat itu. Kawasan sekitarnya agak terpelihara. Ada yang membeli roti dan menikmati kebab. Saya pula membeli jus dan makan beberapa keping roti yang dibawa dari Kuala Lumpur. Semua tampak letih dan mengantuk. Justeru, kami tidur untuk beberapa jam. Saya tidur-tidur ayam kerana dalam masa yang sama perlu memaklumkan kepada pihak hotel di Madinah mengenai ketibaan kami dalam masa kira-kira dua jam. Bas dipandu meluncur laju. Tepat jam 12 tengah hari, kami tiba di depan hotel Jawharat Fayros di Madinah. Sejurus bas berhenti, saya meminta jemaah menurunkan bagasi kecil masing-masing dan mengatakan Masjid Nabawi di sebelah kanan manakala hotel di sebelah kiri. Saya meluru masuk ke kaunter lobi dan memohon kunci bilik untuk diserahkan kepada setiap jemaah. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar. Ikuti sambungan catatan saya bersama-sama jemaah di Madinah pada minggu depan insyaAllah.