PETALING JAYA: Pengubahsuaian Bajet 2016, yang bakal dibentangkan pada 28 Januari ini adalah suatu tindakan yang wajar, berdasarkan kejatuhan harga minyak mentah dunia dan kelemahan ringgit. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata meskipun baharu dibentangkan pada Oktober lepas, keadaan ekonomi kini banyak berubah berbanding pada masa Bajet 2016 dibentangkan. "Keadaan (ekonomi) sudah berubah dengan begitu ketara. Saya fikir, mahu ataupun tidak, pengubahsuaian (Bajet 2016) ini harus dilakukan," katanya selepas menyaksikan majlis pelantikan pengedar Proton baharu di sini Khamis. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan akan membentangkan pengubahsuaian kepada Bajet 2016 supaya lebih realistik dengan keadaan pada tahun 2016. Najib berkata pengubahsuaian itu akan melibatkan beberapa aspek untuk dilakukan penentukur semula supaya lebih realistik pada 2016. Harga minyak mentah dunia pada Khamis berada pada paras US$30 setong berbanding kira-kira US$45 setong semasa Bajet 2016 dibentangkan pada Oktober lepas. - BERNAMA